Perkim gerak dakwah di penempatan Orang Asli

KOTA BHARU, 28 Okt -  Perkim Bahagian Kelantan sedang berusaha menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman Kelantan.

Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Kelantan, Haji Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, usaha itu dijalankan bagi mencapai matlamat 100 peratus masyarakat tersebut menganut Islam.
 
"Ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri yang berkonsep Membangun Bersama Islam," katanya di majlis perasmian penyampaian sijil kelas fardhu ain saudara kita dan kelas tadika al-Quran Perkim, di sini 25 Oktober lalu.

Penyampaian sijil berkenaan dilakukan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan, Dato' Yusof Mohd Othman.
Haji Mohd Ghazali berkata, usaha untuk memperkembangkan syiar Islam ke kawasan pedalaman Kelantan yang merangkumi penempatan Orang Asli perlu dilakukan memandangkan gerakan Kristian sudah memasuki kawasan berkenaan.
 
"Oleh itu, Perkim perlu memainkan peranan secara berkesan dan serius bagi menyelamatkan penduduk Orang Asli terhadap dakyah agama lain," katanya.

Dalam majlis itu, beliau juga berkata, pihak Perkim bersetuju untuk menyerah sebuah masjid yang terletak di Pusat Tarbiah Perkim kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Menurutnya, melalui kaedah itu diharap aktiviti masjid tersebut lebih tersusun untuk manfaat saudara baru serta anak-anak mereka.

"Di samping itu, masjid berkenaan boleh kita jadikan tempat mengislamkan saudara-saudara baru yang berminat untuk menganut Islam," ujarnya.

Pada majlis berkenaan seramai 25 kanak-kanak Tadika Perkim menerima sijil tamat pendidik pra persekolahan.
Kanak-kanak terbabit juga berjaya menghiburkan penonton dengan persembahan nasyid, di samping hafalan al-Quran serta doa-doa harian