Jemput Ulamak Azhar: Umno Hilang Jati Diri

KOTA BHARU, 28 Okt - Pemimpin Umno dianggap sudah hilang jati diri apabila mahu mendapat pandangan orang lain bagi mendapat pengesahan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Sikit-sikit hendak bergantung kepada orang lain. Kita PAS bergerak dengan jati diri, kita nas ada al Quran, Hadis.. ini kekuatan kita, tidak payah kita bawa ulamak dari al Azhar.

"Kerana kita sendiri belajar di Azhar, kemudian al Azhar beri kepercayaan kepada kita dengan memberi sijil (ijazah), masih lagi hendak bergantung kepada orang lain, mana boleh..," kata Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Mursyidul Am diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Dato' Dr Abdul Hamid Othman, di mana pihaknya sedang berusaha membawa ramai ulamak dari Mesir termasuk Sheikhul Az Azhar, Dr Sheikh Tantawi bagi mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
 
Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, sekiranya ulamak dari Mesir tersebut datang dan diberi peluang untuk bersoal jawab, maka akan ditanya soalan apa hukum orang yang hendak haramkan Islam.

"Apa hukum sebuah parti yang hendak haramkan Islam, kita ada bukti cukup.
"Apa hukum Islam tidak boleh berjalan di Malaysia, dengan alasan Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk.
"Sebab itu bagi saya, Umno tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana dia sering bergantung kepada orang lain, ini dipanggil otak penjajah," tambahnya.

Menurutnya, sikit-sikit hendak bergantung kepada Inggeris, Eropah dan kini hendak mengharapkan ulamak pula.
Sedangkan kata beliau, ulamak hakiki (di Mesir) sudah beri sijil kepada kita (pemimpin PAS) mengenai kemampuan untuk memimpin Islam di tanah air, Malaysia.

Beliau juga menggambarkan taktik yang dilakukan itu sebagai sudah bankrap politik.  "Umno sudah lama dah bankrap, sebab itu dia guna ISA.

"Apa erti kita guna kuasa kerana kita ada hujah. Manusia tidak akan bertumbuk, kalau dia boleh guna hujah, bertukar fikiran, yang berlaku bertumbuk juga, itu kerana ada pihak yang masih degil," ujarnya.

Menurutnya, ISA adalah perkara degil kerana dia (pemimpin Umno) sudah tahu tidak ada hujah dan hanya mampu gunakan kuasa sahaja.  "Itu orang panggil gila kuasa, macam-macam boleh buat," katanya.

Sebelum itu, Menteri Besar diwawancara wartawan Bloomberg dari Singapura, Shamim Adam selepas menyampaikan kuliah mingguan di Dewan Zulkefli Mohamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, 26 Oktober.

Polemik negara Islam menjadi isu yang tidak berupaya menarik orang Melayu untuk menyokong parti itu, biarpun pelbagai usaha sudah dilakukan.  Malah, Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh menyatakan pendirian dengan tegas, Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan Islam hanya sebagai agama rasmi