Pahala: PAS sedia bermuzakarah pemimpin atasan Umno

PASIR MAS, 28 Jan - PAS bersedia bermuzakarah dengan pemimpin atasan parti pemerintah berhubung isu pengundi mendapat pahala apabila mengundi kerajaan yang mahu melaksanakan tuntutan syariat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bermuzakarah dengan pihak yang membuat dasar dan bukan kepada pihak bawahan perlu diadakan.

"Orang bawah hanya menjadi pak turut sahaja, kerana orang atasan yang menentukan segala-galanya," katanya selepas merasmikan Pelancaran Kutipan Hasil Tanah dan Peningkatan Kualiti Pentadbiran Tanah peringkat negeri di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, 28 Januari. Hadir sama, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum dan wakil-wakil rakyat.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Nik Abdul Aziz bertindak seolah-olah sebagai Tuhan yang boleh menentukan pahala seseorang.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak faham bagaimana Nik Abdul Aziz memperoleh mandat itu sehingga mampu menentukan seseorang layak masuk syurga atau neraka.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan kesal kerana hujahnya mengenai perkara itu tidak dibalas dengan hujah lain.

"Namun apa yang berlaku sekarang mereka cuba hendak jawab dengan undang-undang (untuk mengambil tindakan) yang bercirikan ugutan dan bukannya sebagai hujah.

"Ugutan mungkin boleh memberhentikan mulut sahaja, tetapi jiwa saya masih tetap berpegang kepada perkara benar.
"Kalau mereka hendak mengambil tindakan undang-undang, ia terpulang kepada mereka kerana masih mempunyai kuasa sekarang," katanya.

Lagi pun beliau berkata, perkara seperti itu sudah berlaku sejak zaman lampau, di mana Firaun menentang Nabi Musa, Abu Jahal melawan Nabi Muhamad saw ketika menyatakan kebenaran agama Allah. Katanya, sebagai manusia biasa beliau tidak dinafikan bimbang sekiranya mahu diambil tindakan undang-undang dan bukan berhujah berdasar nas al Quran dan Hadis.

"Kalau tidak betul... tolong hujah semula, kalau hendak gertak jangan.. itu bukan cara Islam dan demokrasi.
"Saya bimbang mereka (pemimpin Umno) dalam semua tindakan mahu menggunakan undang-undang sehingga menyebabkan rakyat senyap, tetapi bila habis tempoh parti yang memerintah sekarang, ia menyebabkan rakyat bangkit.

"Ia tidak akan berpanjangan dan akan meletup balik, misalnya di Indonesia di bawah era Sukarno dan Suharto rakyat senyap, namun sekarang mereka sudah berani dan bangkit menentang kerajaan," kata beliau.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana rakyat Indonesia dididik di atas penyatuan yang begitu sekali reput iaitu penyatuan bangsa dan bahasa. Sedangkan kata beliau perkara itu tidak kena, kerana Allah tidak pilih ia menjadi alat kepada penyatuan umat manusia.

Menteri Besar berkata, lahirnya pelbagai reaksi terhadap kenyataan awalnya berhubung soal pahala dan dosa, menggambarkan ia petanda yang baik. "Bagaimanapun kalau ada pendapat mengatakan isu itu menyebabkan timbul perpecahan, ia adalah tidak benar.
"Sebenarnya orang Islam semakin rapat di antara mereka bila menghayati perkara tersebut, ini kerana Islam menganggap dunia ini kepala dan ekornya adalah akhirat," tambahnya.

Beliau berkata, masalah dosa pahala bukan Islam sahaja menyatakan demikian, malah semua agama di dunia terbabit dengan dosa dan pahala. Bagaimanapun katanya, pihak yang tidak terlibat dengan dosa pahala hanya isme (fahaman ciptaan manusia) atau teori untuk mengurus sesama manusia sahaja.

"Pahala tidak ada dalam kepala manusia yang mencipta isme, malah tulisan di kubur Firaun di Mesir, menyebut si mati akan mendapat pahala kelak dan layanan baik di akhirat kelak.
"Firaun pun mengaku wujud akhirat, syurga dan neraka. Jadi Islam berbeza dengan bukan Islam, sekular tidak libatkan langsung dengan persoalan dosa dan pahala. "Pemerintahan sekular tidak pedulikan masalah dosa pahala," katanya.

Beliau berkata, kenyataan awalnya menyebut orang yang mengundi PAS pada tahun 1990 sehingga berjaya membentuk kerajaan dan menghapuskan perkara mungkar seperti amalan riba mendapat pahala. Kataya, riba adalah benda mungkar yang Allah Taala sendiri ajak hendak berperang dengan golongan itu.

FirmanNya, 'Hai Muhamad kalau ada orang mengajak pihak lain kepada amalan riba, mari kita berperang'.
"Jadi untuk menyelamatkan rakyat Kelantan daripada diajak berperang oleh Allah Taala, maka riba kita buang riba dan ganti dengan Ar Rahn. "Begitu juga pinjaman kepada pegawai kerajaan kita tidak gunakan riba. Ini adalah suatu kejayaan yang mana kerajaan lain tidak buat. "Kita bentuk kerajaan di atas nama Islam," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, kenyataannya sebelum ini boleh menimbulkan pecah belah tidak wujudnya kerana tanggungjawabnya memberitahu perkara benar.

"Kalau hendak dikatakan pecah belah berlaku terhadap Umno mungkin.. kerana orang tidak akan sokong lagi parti itu kerana mereka (pemimpin Umno) tidak mempedulikan masalah dosa pahala.