Radio Thai siar kuliah MB secara langsung

NARATHIWAT (Selatan Thai), 29 April (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menempa sejarah apabila diberi kesempatan menyampaikan kuliah agama secara langsung oleh sebuah stesen radio milik Royal Thai Army (RTA)  yang berpengkalan di Sungai Padi, di sini, semalam.

Siaran itu disiarkan secara langsung oleh Stesen Radio Chok Wa, sebuah stesen radio paling popular di Selatan Thai yang boleh didengari secara jelas di empat wilayah dan sebahagian besar Negeri Kelantan dan Jerteh di Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kesempatan memberi kuliah oleh stesen radio tersebut yang merupakan anak syarikat kepada TV5 milik kerajaan Thailand sempena lawatan beliau bersama rombongan kerajaan negeri ke Selatan Thai atas undangan pemimpin tempatan.

Pada kunjungan itu Menteri Besar turut dibawa melawat ke stesen pemancar TV5 dan diberi penerangan ringkas berhubung perjalanan stesen itu.

Selain itu, Menteri Besar turut menyampai tazkirah di Masjid al-Ahli, Kampung Pohon Kepas serta beramah mesra dengan penduduk tempatan. Kehadiran beliau di sambut meriah oleh para penduduk dan kanak-kanak.

Sementara itu, juru hebah Radio Chok Wa, Sidek Nik Mat berkata, segmen tazkirah Menteri Besar begitu diminati penduduk Selatan Thailand kerana ia menggunakan dialek Kelantan yang mudah difahami mereka.

Katanya, berdasarkan kepada kajian dibuat RTA, segmen berkenaan mempunyai pendengar paling ramai sekali setakat ini.

Sehubungan itu beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Abe Di' amat berbesar hati apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menerima undangan stesen radio berkenaan dan menyampai kuliah secara langsung kepada pendengar.

"Saya amat berbangga menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, memandangkan beliau merupakan tokoh yang begitu popular di Selatan Thai khususnya di kalangan peminat Radio Chok Wa.
"Lagi pun siaran radio merupakan alat sebaran paling popular di kalangan penduduk di sini berbanding media cetak.

"Kehadiran beliau sangat dinanti-nantikan, justeru itu kita berharap pada masa akan datang beliau mempunyai kesempatan untuk datang lagi ke sini," katanya ketika ditemui.

Sebelum ini satu perjanjian diadakan di antara RTA dan Unit Audio Visual Badan Perhubungan PAS Kelantan bagi menyiarkan rakaman tazkirah agama Menteri Besar.

Menerusi perjanjian itu, kuliah Menteri Besar diudarakan selama setahun oleh radio berkenaan.
Siaran tersebut boleh didengar dengan jelas melalui gelombang 92.5 mHz, mulai jam 2.10 petang hingga 3 petang setiap hari Ahad.

Tazkirah hampir sejam itu berdasarkan kepada rakaman kuliah mingguan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Zulkifli Mohamad di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Kota Bharu.

Tazkirah agama oleh Menteri Besar Kelantan bukan sahaja diminati rakyat negara ini, malah diikuti penduduk Islam di Selatan Thailand.
Dianggarkan lima juta penduduk Islam di empat wilayah selatan Thai mengikuti tazkirah secara rakaman itu.

Radio Chok Wa menggunakan dua bahasa perantaraan utama iaitu Melayu dan Siam.
Sebelum ini, kaset-kaset kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz cukup laris di Selatan Thailand yang didapati daripada mereka yang berkunjung ke Rantau Panjang dan Kota Bharu.

RTA sebelum ini juga acap kali menyiarkan tazkirah Menteri Besar dan perutusan Hari Raya Aidil Fitri.
Ketika sambutan ulangtahun ke-10 Dasar Membangun Bersama Islam pada Oktober lalu, RTA memberi ruang sepenuhnya menyiarkan tazkirah Tuan Guru Nik Abdul selama sebulan.

Sebaliknya, hampir 10 tahun lalu, kerajaan Kelantan pernah berusaha mendapatkan lesen untuk mengendalikan radio sendiri, namun tidak dibenarkan Kementerian Penerangan.



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan