Kemerdekaan: Kelantan tidak berpolitik

JELI, 29 Ogos  - Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama penuh bagi menjayakan program sambutan Hari Kemerdekaan, 31 Ogos ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak bagi memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar. "Oleh itu, saya menafikan dakwaan mana-mana pihak menuduh kerajaan PAS Kelantan tidak memberi kerjasama kepada pemimpin persatuan atau badan bukan kerajaan yang bukan penyokong PAS," katanya selepas pelancaran Majlis Sambutan Jelajah Merdeka 2001 Peringkat Negeri Kelantan di Jeli 26 Ogos.

Kata beliau, kerajaan Kelantan tidak pernah membezakan fahaman politik bagi menjayakan sesuatu program rasmi yang bukan bercorak kepartian. Menurutnya, apa sahaja program yang dijalankan asalkan tidak melangar peraturan yang ditetapkan Islam, kerajaan negeri memberi sokongan padu. Di antara program-program yang diatur sempena sambutan kemerdekaan iaitu termasuk Majlis Tahlil dan Khutbah pada 24 Ogos, sambutan ambang kemerdekaan pada malam 30 Ogos di Stadium Sultan Muhamad ke-IV.

Perarakan 31 Ogos juga akan diadakan di perkarangan stadium pada pagi hari tersebut yang dihadiri Menteri Besar. Sebelum itu, Dato' Abdul Halim melepaskan rombongan seramai 50 orang pasukan bermotosikal besar menjelajah merdeka yang membawa jalur gemilang untuk diserahkan kapada Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir Muhammad di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.


....................................................................................................................................

PAS Kelantan terima 25,000 jalur gemilang

KOTA BHARU, 29 Ogos  - Badan Perhubungan PAS Kelantan turut menerima 25,000 jalur gemilang yang dihantar Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sebagai persiapan menyambut ulangtahun kemerdekaan pada 31 Ogos ini. Jalur gemilang itu bersaiz kecil untuk dipasang di kenderaan tiba di Pejabat PAS, 26 Ogos. Orang ramai yang berada berdekatan pejabat PAS berpeluang mendapatkan jalur gemilang tersebut untuk dilekat pada kenderaan masing-masing.

Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusof berkata, penerimaan jalur gemilang itu mencatat sejarah kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. "Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada menteri dan kementerian terbabit," katanya di sini.

Menurutnya, bendera tersebut akan diagih kepada seluruh PAS kawasan di Kelantan sebagai meraikan sambutan hari kemerdekaan.  Pejabat Perhubungan PAS Kelantan juga menerima sebanyak 6,500 jalur gemilang bersaiz 2x4 kaki yang dihantar pada 27 Ogos lalu. Semua bendera tersebut telah diagihkan kepada 14 PAS Kawasan seluruh Kelantan menandakan sokongan PAS kepada sambutan kemerdekaan 31 Ogos nanti.