Majlis Bandaraya Kasaoka puji bandar Kota Bharu

KOTA BHARU, 29 Ogos  - Majlis Bandaraya Kasaoka, Jepun memuji Kota Bharu sebagai sebuah bandar indah dipenuhi reka bentuk menarik yang menggambarkan kesenian tersendiri. Ketua ahli majlis mesyuarat, Majlis Bandaraya Kasaoka, Akashi berkata, sekali pun Kelantan terpinggir dari aspek pembangunan, namun keindahannya cukup terserlah.

"Walaupun tiada pembangunan pencakar langit, namun keindahan bandar Kota Bharu tetap terpelihara dengan mengutamakan alam hijau," katanya ketika melawat Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, baru-baru ini.

Seramai tujuh anggota majlis bandaraya berkenaan mengunjungi MPKB dan menemui Timbalan Yang Dipertuanya, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman. Kunjungan itu adalah susulan sempena lawatan Datuk Bandar Kasaoka dua minggu lalu sebelum itu bertujuan meninjau peluang pembangunan dan ekonomi di negeri ini. Rombongan berkenaan turut melawat kilang Rohm Wako, Pasar Besar Siti Khadijah, Razali Batik, Kompleks Kota Darulnaim dan Pantai Cahaya Bulan. Buat pertama kalinya mereka berkesempatan menikmati raja buah, iaitu durian.

Sementara itu, Haji Abdul Aziz berharap pemilik kilang di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan kawasan kilang masing-masing. Katanya, pengusaha kilang disaran menanam pokok bunga bagi menjayakan program bersih dan indah. "Selain itu juga kita menyeru supaya kawasan perumahan termasuk  rumah awam kos rendah menjaga kebersihan sekitar termasuk menanam bunga-bungaan," ujarnya.