PAS bantu wujud suasana aman sejak 50 tahun

PENGKALAN CHEPA, 29 Ogos  - PAS berjaya mewujudkan suasana aman dalam negara dan mengikut lunas-lunas demokrasi sejak awal penubuhannya, 50 tahun lalu. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, sepanjang tempoh tersebut PAS turut menyumbang ke arah mewujudkan suasana aman dalam negara.

"Sebab itu PAS tidak pernah berhasrat untuk berdepan secara kekerasan dengan mana-mana pihak termasuk polis. "Banyak cara penyelesaian yang boleh kita buat untuk menyelesaikan setiap masalah berbangkit. Tindakan secara agresif tidak akan memberi keuntungan dalam jangka masa panjang," katanya pada seminar mengenai undang-undang dan ceramah di Dewan Putik di sini, 25 Ogos.

Wakil-wakil jentera pentadbiran PAS dari seluruh kawasan di Malaysia hadir pada program tersebut bagi mendengar pandangan pakar-pakar undang-undang mengenai isu semasa yang berlaku. Ustaz Azizan yang Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, PAS tetap berusaha untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Katanya, PAS mendapat simpati rakyat ekoran tindakan tegas kerajaan menghalang program ceramah politik secara terbuka. "Tempoh bekerja untuk perjuangan masih panjang lagi dan tindakan secara rasional perlu untuk mengelakkan setiap isu yang berlaku diambil dieksploitkan media yang pro kerajaan Barisan Nasional (BN). "Namun tugas utama PAS sebagai organisasi untuk berdakwah dan berjuang tetap diteruskan," katanya.

Beliau turut memberi perumpaan iaitu orang yang melanggar lampu 'traffic ligh' sebelum api berwarna hijau akan menempuh banyak kemungkinan iaitu dirempuh kenderaan lain atau disaman polis. Manusia juga tidak boleh menebuk telur yang sedang diramkan oleh ibunya untuk melihat anak ayam selagi belum tiba masanya. "Apabila orang berkenaan mahu juga melihat anak ayam dengan menebuk kulit telur sebelum tiba waktu menetas, telur itu akan rosak dan berbau busuk," tambahnya.

Penasihat Undang-Undang PAS, Haji Wan Mutalib Embong berkata, di negara ini sekarang seolah-olah wujud dua undang-undang iaitu boleh mendakwa seseorang di mahkamah terbuka atau tidak. Katanya, orang Umno yang didapati bersalah mengamalkan politik wang sepatutnya didakwa di mahkamah secara terbuka dan bukan sekadar dihukum melalui Jawatankuasa Disiplin dan Pengurusan Umno sahaja. "Sedangkan rakyat yang melakukan kesalahan serupa didakwa di mahkamah awam," katanya.

Seorang peguam, Hanifa Myddin berkata, tempat persendirian boleh diadakan ceramah biarpun tanpa permit, memandangkan ia milik perseorangan. Anggota parlimen Machang, Haji Yusof Noor yang juga seorang peguam memberitahu orang yang ditahan polis di negara ini tidak boleh mendapatkan khidmat peguam selagi belum disabit di bawah mana-mana seksyen. Menurutnya, keadaan itu berlainan berbanding di Amerika Syarikat dan England di mana seseorang ditahan boleh mendapat khidmat peguam biarpun belum disabit di bawah mana-mana seksyen.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Senator Haji Hassan Shukri berharap PAS setiap cawangan di negara ini mendaftar markaz masing-masing bagi memudahkan sesuatu program dijalankan. Beliau juga berkata, program ceramah tetap diteruskan selagi bulan dan bintang masih ada. "Jawatankuasa PAS Pusat telah mengambil keputusan supaya program ceramah tetap diteruskan," katanya.