Kelantan nafi larang kegiatan St John Ambulans

KOTA BHARU, 29 Ogos  - Kerajaan negeri menafikan pernah mengeluarkan arahan melarang kegiatan pasukan pertolongan cemas, St John Ambulans menjalankan kegiatan di negeri ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakhri Harun berkata, dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai perkara tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

"Saya begitu hairan bagaimana seorang pemimpin yang tidak terbabit secara langsung dengan kegiatan di Kelantan boleh mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah," katanya di sini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris 27 Ogos melaporkan, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato' Helmi Yahya mendakwa kononnya kerajaan Kelantan tidak membenarkan St John menjalankan kegiatan di negeri ini.

Anual berkata, berdasarkan kepada rekod yang diperolehi kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan melarang kegiatan pasukan pertolongan cemas tersebut menjalankan kegiatan di Kelantan.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan sebarang polisi melarang kegiatan St John Ambulans seperti didakwa pihak terbabit," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Yayasan Islam Kelantan yang mengendalikan 90 sekolah agamanya di negeri ini juga tidak pernah mengeluarkan arahan melarang kegiatan St John Ambulans di sekolah di bawah kelolaan yayasan itu.