MB yakin undang-undang Islam dapat didaulat

KOTA BHARU, 28 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkeyakinan undang-undang Islam akan dapat didaulatkan suatu hari nanti apabila umat Islam faham mengenainya.

"Rakyat pasti akan menerima cara pemerintahan Islam pada masa itu selepas mereka faham mengenainya. "Ini kerana al-Quran sudah lengkap dengan segala hukum dan undang-undang yang telah ditetapkan Allah termasuk cara memerintah negara," katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran kali ke-44 Peringkat Negeri Kelantan di sini, malam 27 Ogos.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Mohamed Daud dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Menteri Besar undang-undang Barat yang digunapakai sekarang akan ditolak umat Islam apabila kesedaran mengenai agama sendiri semakin meningkat.
"Ini kerana Islam mempelopori segala kemajuan dalam dunia sekarang termasuk bidang sains dan teknologi.

"Bagaimanapun disebabkan orang Barat rajin maka mereka dapat menjuarai ilmu berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam mengkaji is kandung al-Quran dengan mendalam bagi membolehkan mereka menguasai ilmu ketamadunan dunia.

Beliau juga berkata, Islam tidak pernah membezakan taraf antara lelaki dan wanita, melainkan golongan lelaki lebih banyak tanggungjawab selepas berkeluarga.

Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan membariskan 11 peserta mewakili setiap jajahan.
Peserta yang mendapat johan akan dapat mewakili Kelantan untuk menyertai tilawah di peringkat kebangsaan yang akan diadakan November depan.