Isu St John Ambulans
PEMUDA DESAK SAMAN 'THE STAR'


KOTA BHARU, 29 Ogos - Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak kerajaan negeri menyaman akhbar The Star yang kini dimiliki MCA kerana menyiarkan berita memfitnah kerajaan PAS.

Setiausahanya, Mohd Zaki Ibrahim berkata, isu St John Ambulans yang disiarkan akhbar berkenaan 27 Ogos adalah bercanggah dengan apa sebenarnya berlaku.
"Mereka seperti mempercayai sepenuhnya kenyataan pemimpin Umno sedangkan maklumat yang diberi salah dan berunsur fitnah," katanya di sini.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri bertindak segera mengambil tindakan undang-undang terhadap editor dan pemilik akhbar terbabit. Menurutnya, sekiranya dibiarkan banyak lagi kenyataan yang cuba memburukkan kerajaan negeri disiarkan, sehingga boleh menimbulkan tanggapan negetif terhadap Kelantan.

Akhbar berbahasa Inggeris terbabit yang bertarikh 27 Ogos memetik kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato' Helmi Yahya menganggap kerajaan Kelantan berfikiran sempit kerana mengarahkan beberapa St John Ambulans ditutup.

Bagaimanapun kenyataan itu dinafikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakhri Harun yang menjelaskan berita tersebut sungguh tidak bertanggungjawab.
"Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang polisi, arahan dan peraturan baik secara bertulis atau lisan supaya St John Ambulans di seluruh Kelantan ditutup," katanya pada satu kenyataan lain, petang 28 Ogos.

Anual juga kesal dengan kenyataan Komander St John Pulau Pinang, Lim Thoon Deong yang jelas tidak bertanggungjawab mengenai isu tersebut.  Menurutnya, mustahil kerajaan negeri ada kuasa untuk  mengarahkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan menutup persatuan tersebut kerana ia bukan di bawah bidang kuasanya.

Zaki berkata, akhbar berkenaan kini sudah hilang kewibawaannya sejak diambilalih MCA.
Katanya, akhbar itu kini tidak seperti sebelum ini, di mana mereka sudah menjejaki media arus perdana berbahasa Melayu yang menjadikan pembangkang sebagai sasaran utama.

Anggota parlimen Bachok, Wan Nik Wan Yusof berkata, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sepatutnya menjaga kewibawaannya dan mengelakkan mengeluarkan kenyataan yang samar.
Katanya, maklumat yang diperolehi pemimpin terbabit seperti diambil daripada bangkul sampah kerana kerana tidak mempunyai kesahihan.

Beliau juga melihat populariti akhbar berkenaan semakin merosot selepas diambil alih MCA sehingga membiarkan dirinya diperalatkan bagi kepentingan politik tertentu.