Pendaratan ikan di Tok Bali bernilai RM145 juta

PASIR PUTEH, 29 Okt  - Tok Bali dekat sini, kini menjadi pusat pendaratan ikan utama di Pantai Timur apabila berupaya meningkatkan jumlah pendaratannya setiap tahun. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 50,000 tan metrik berjaya didaratkan di jeti Tok Bali membabitkan jumlah nilaian RM145 juta.

Jumlah itu dijangka terus meningkat tahun ini, di mana sehingga Ogos lalu, sebanyak 48,000 tan metrik ikan berjaya didaratkan di Tok Bali melibatkan nilaian RM144 juta.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Haji Sani Mohd Isa berkata, sehingga kini sebanyak 76 bot laut dalam menggunakan jeti-jeti yang terdapat di Tok Bali untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.
Katanya, bot-bot tersebut termasuk sebanyak 25 buah dari Besut, Pahang dan Johor Timur dan selebihnya bot-bot tempatan.

"Sehubungan itu, Jabatan Perikanan juga bersetuju memajukan kawasan seluas 16 ekar di Tok Bali untuk dijadikan Kompleks Perikanan yang dilengkapi dengan kemudahan pusat inkubator, pejabat dan jeti bot," katanya pada taklimat sempena kunjungan Menteri Besar ke Tok Bali, 24 Oktober lalu.

Menurutnya, permohonan pengambilan balik tanah sudah diajukan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata, sebanyak RM1.3 juta diperuntukan bagi melaksanakan projek tersebut.
"Sebanyak RM750,000 dibayar tahun ini bagi proses pengambil tanah dan projek tersebut dijangka akan dimulakan awal tahun depan," katanya.

Selain itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga akan membangunkan kawasan seluas 89 ekar bagi memajukan Kompleks Marin Laut Dalam. Projek tersebut dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM130 juta. Peruntukan sebanyak RM58 juta dipohon LKIM daripada kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Kelapan.  Kompleks Marin itu akan dilengkap dengan kemudahan yang akan menjadi pemangkin ke arah pembangunan industri perikanan laut dalam di rantau ini.

Manakala seluas 50 ekar lagi diperuntukan bagi dibangunkan Taman Industri Marin yang membabitkan peruntukan sebanyak RM6.2 juta.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) juga turut terbabit memajukan pembangunan di Tok Bali yang melibatkan keluasan 372 ekar.

Begitu juga Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dijangka membina pejabatnya di Tok Bali di kawasan seluas empat ekar.
Selain agensi-agensi kerajaan, terdapat beberapa syarikat swasta memajukan kawasan Tok Bali termasuk Tok Bali Dockyard Engineering Sdn Bhd, Tari Agro Marine Sdn Bhd, Kekal Lestari, Yie Trading, D'Bali Boat Villa dan SQ Global Sdn Bhd.