Solat tarawih di Hotel Perdana  

KOTA BHARU, 29 Nov  - Hotel Perdana di sini mungkin menjadi hotel bertaraf bintang pertama di negara ini yang mengadakan solat tarawih di dewan seminarnya, sempena Ramadhan sekarang. Solat berkenaan diadakan di Dewan Bunga Emas A yang boleh menampung sehingga 200 jemaah.

Penghuni-penghuni hotel dan kakitangannya berpeluang solat tarawih yang diimami pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat.

Pengurus Besar hotel berkenaan, Samari Che Ismail berkata, usaha itu dilakukan bagi membolehkan pengunjung menunaikan solat tarawih berjemaah di kawasan hotel tanpa perlu pergi ke tempat lain.

"Kita cuba cetuskan suasana berlainan yang tidak terdapat di hotel-hotel lain. "Ini juga menggambarkan pengurusan hotel tidak mementingkan soal keuntungan semata-mata, sebaliknya masalah ibadat dan kebajikan turut diambil berat," katanya di sini.

Menurutnya, pada malam pertama solat tarawih diadakan hanya sekitar 10 orang sahaja yang hadir. Bagaimanapun sekarang jumlahnya sudah meningkat lebih 40 orang dan dijangka bilangannya akan bertambah lagi apabila ramai anak-anak Kelantan pulang bercuti sempena Hari Raya tidak lama lagi.

Katanya, penduduk tempatan juga boleh datang bersolat tarawih di sini, dan mereka dialu-alukan untuk mengimarahkan lagi Ramadhan di Hotel Perdana.

Samari yang baru dua bulan berkhidmat di Hotel Perdana mempunyai pengalaman 20 tahun dalam industri perhotelan cuba mencetus suasana baru di hotel berkenaan.
Beliau yang berasal dari Tanjung Maling, Perak bergembira kerana dapat berkhidmat di sebuah hotel yang sudah dikenali ramai di Kelantan dan berazam mahu mempertingkatkan pengurusan hotel berkenaan.

Sementara itu, Dataran MPKB di tengah pusat Bandar Kota Bharu tetap menjadi tumpuan orang ramai menunaikan solat tarawih. Dianggarkan kira-kira 500 penduduk tempatan dan pelancong menunaikan solat di tempat tersebut, yang menjadi popular sebagai tempat beribadat di bulan Ramadhan sejak beberapa tahun lalu.

Pegawai Jabatan Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Ustaz Azhar Abdul Satar berkata, mulai tahun ini juga MPKB mewujud sebuah lagi tempat solat tarawih iaitu di tapak Pasar Borang Wakaf Che Yeh.
"Kira-kira 250 peniaga dan penduduk tempatan menunaikan solat tarawih di tempat tersebut setiap malam," katanya.

Solat tarawih di Dataran MPKB diimami Ustaz Hassan Abdul Rashid seorang hafiz. Menurutnya, tazkirah Ramadhan tetap diadakan di kedua tempat berkenaan biarpun larangannya dikuatkuasa di negeri-negeri lain