Pak Lah enggan jawab soalan 'geran Kelantan'

PENGKALAN CHEPA, 29 Nov - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengelakkan menjawab soalan dikemukakan wartawan mengenai pembayaran geran kepada kerajaan Kelantan ketika berkunjung ke sini, petang 27 November.

Soalan tersebut diaju wartawan ketika sidang akhbar di Masjid Taman Uda Murni selepas menyampaikan bantuan zakat kepada penyokong Umno dari beberapa bahagian Umno di Kelantan.

Kerajaan Kelantan sehingga akhir Oktober lalu hanya menerima sebanyak RM20.8 juta geran keseimbangan 2001 daripada kerajaan Pusat. Sedangkan jumlah keseluruhannya yang perlu dibayar kepada kerajaan Kelantan tahun ini sebanyak RM120 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, tahun ini akan berakhir hanya sebulan sahaja lagi, sedangkan geran keseimbangan yang menjadi milik kerajaan negeri belum diterima sepenuhnya," katanya.

Sehubungan itu, Takiyuddin berharap kerajaan Pusat tidak mempolitikan perkara berkaitan keperluan rakyat.

Sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri yang mengambil masa beberapa minit itu dijawab sambil lewa Timbalan Perdana Menteri tanpa menghuraikan lanjut setiap soalan yang dikemukakan.

Wartawan yang hadir kelihatan tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut dan hanya berulang dengan apa yang disebut di tempat-tempat lain sebelum ini.

Isu yang menjadi fokus pada sidang akhbar tersebut hanya berkaitan penghantaran pulang bekas Gabenor Wilayah Autonomi Mindanao, Nur Misuari.