MB lawat pasar dengar pandangan peniaga  

KOTA BHARU, 29 Nov -  Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan lawatan 'mengejut' ke Pasar Besar Siti Khadijah bagi meninjau masalah peniaga di pasar berkenaan.

Lawatan berkenaan diadakan berikutan kira-kira 200 peniaga pasar besar terbabit berhimpun secara aman di perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 27 November sebagai membantah kewujudan Bazar Ramadhan di Jalan Dato' Perdana, sebelahan pasar besar.

Turut mengiringi lawatan itu, dua anggota Exco kerajaan negeri, Takiyuddin Hassan dan Haji Anuar Tan Abdullah, Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar, Timbalan Yang Dipertua MPKB, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pegawai Perhubungan Awamnya, Azman Mat Daham.

Pada lawatan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mendengar pandangan para peniaga yang  mendakwa hasil jualan mereka terjejas berikutan MPKB membuka tapak jualan sementara berdekatan pasar.

"Tak apalah, jangan bimbang, Insya Allah bermula 29 November, peniaga terbabit akan hanya dibenarkan memulakan jualan mulai jam 3 petang," ujarnya.

Menteri Besar juga turut melawat Pasar Ramadhan dan Aidilfitri di Jalan Dato' Perdana, sekitar Pasaraya Mydin dan The Store. 

Orang ramai dan peniaga mengambil kesempatan itu untuk bersalaman dengan pemimpin yang mereka sanjungi.

Sementara itu, tiga orang pelancong dari Australia juga tertarik hati melihat Menteri Besar meluangkan masanya melawat orang ramai berniaga di pasar dan tempat jualan lain di sekitarnya.

Selain itu juga, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut meninjau perkembangan Dataran MPKB yang dijadikan tempat berbuka puasa dan solat sunat tarawih terbuka.