MB mohon maaf tidak ziarah mangsa banjir

KOTA BHARU, 31 Dis  - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf kepada mangsa-mangsa banjir kerana tidak sempat melawat mereka, ketika air bah baru-baru ini.

"Saya minta maaf kerana tidak boleh melawat. Saya tidak boleh terdedah sangat dengan hujan. Tubuh saya kalau kena air hujan akan mendatangkan masalah.

"Setitik air hujan pun sudah menjadi masalah. Ia akan menyebabkan deman dan selsema.
"Jadi kalau rakyat hendak kecil hati kerana saya tidak melawat semasa banjir baru-baru ini, saya minta maaf. Saya tidak boleh berbuat apa-apa ketika itu," katanya kepada pemberita di sini.

Baru-baru ini, jajahan Gua Musang dan Kuala Krai terjejas teruk kerana dilanda banjir yang berlaku secara mengejut ekoran hujan lebat. Malah, terdapat 14 rumah milik penduduk di Gua Musang dihanyutkan arus deras.

Menteri Besar berkata, biarpun beliau tidak sempat menziarahi penduduk, maklumat daripada pegawai dan penyelia Dun serta parlimen mengenai perkembangan banjir sentiasa diperolehi.

"Saya sentiasa berhubung dengan pegawai dan Penyelia Dun serta parlimen di kawasan berkenaan dan mereka bekerja keras membantu penduduk.

"Mereka mengagihkan bantuan kepada orang ramai. Namun malangnya, pembangkang (BN) hanya mengagihkan bantuan kepada kalangan penyokong mereka sahaja, keadaan itu menyebabkan orang PAS terasa kecil hati," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Insya Allah selepas bah, beliau akan datang untuk berjumpa mata dengan penduduk yang dilanda banjir. "Sekali lagi saya minta maaf ketika hujan saya tidak boleh pergi melawat. Tubuh saya sensitif dengan air hujan," tambahnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sudah lama menyediakan penempatan kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Gua Musang iaitu di Kampung Putih. Katanya, kawasan tersebut sudah lama diwujudkan, namun penduduk masih lagi enggan berpindah.  Beliau berkata, mereka lebih seronok tinggal di tepi sungai.

"Apabila datang banjir mereka juga yang menghadapi masalah. Bagaimanapun terdapat juga kemungkinan kawasan itu masih kurang dilengkapi prasarana sempurna menyebabkan penduduk belum bersedia berpindah," katanya. 
 
Ditanya kemungkinan banjir besar melanda Gua Musang disebabkan masalah pembalakan secara tidak terkawal katanya, kerajaan negeri mengawal ketat perkara itu.

"Kalau hendak dilayan ada orang kata tidak kawal, sebenarnya kalau dilihat kepada rekod, pada zaman BN dahulu jelas tidak dikawal.

"Kami kawal dan mengikut peraturan pembalakan yang ditetapkan. Dan sekiranya berlaku juga pembalakan haram, itu di luar pengetahuan kita.  

"Tetapi kalau dikira dari segi penebangan, kami buat betul-betul mengikut apa yang ditetapkan Jabatan Perhutanan," katanya.

Beliau juga berkata, masalah banjir berlaku sekarang disebabkan hujan lebat dan sungai cetek.
Katanya, kegiatan pembangunan yang berlaku di kawasan hulu sejak berpuluh-puluh tahun menyebabkan air sungai menjadi keruh, tanah mengalir ke laut dan pasir terperangkap di dataran. 
"Ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Sedutan pasir yang dilakukan oleh kontraktor pasir tidak memadai untuk mendalamkan sungai.

"Oleh itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Laut perlu melakukan sesuatu perancangan.

"Saya lihat di negara China, Sungai Kuning di negara itu bersih sekali. Airnya tenang, bila kita lihat cukup menyeronokkan," ujarnya.

"Bagaimanapun kata beliau, masalah penjagaan  sungai belum lagi sampai ke tahap yang memuaskan di negara ini.
Menurutnya, ada penduduk lebih suka mendirikan rumah di tepi sungai, dan mereka menjadikan sungai sebagai tempat membuang sampah.
"Mereka menyuruh anak-anak  membuang sampah ke sungai. Itu yang menjadi masalah kepada kita. Jadi banyak sangat perkara yang perlu dibaiki," tambahnya.