Pembangkang boleh imbangi kuasa BN di Perlis

KOTA BHARU, 31 Dis  - Penduduk di Indera Kayangan diminta merebut peluang pilihan raya kecil yang bakal berlangsung tidak lama lagi dengan menguatkan kedudukan pembangkang.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pembangkang mesti diperkuatkan bagi mengimbangi kuasa yang dimiliki kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kalau pembangkang tidak kuat dan hanya sebelah pihak sahaja yang kuat, ia akan terjadi seperti tindakan Amerika sekarang yang mahu menguasai dunia tanpa ada saingan kuasa lain.

"Sekarang pesaing terdekat Amerika sudah tidak ada lagi. Dahulu Amerika gerun kepada Soviet Union dan sekarang kesatuan itu sudah hancur. Amerika menjadi macam tuhan sekarang.

"Dia bertindak sesuka hati tanpa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya kepada pemberita di sini.
Begitu juga kata beliau, sekiranya dibiarkan BN berkuasa penuh tanpa ada pembangkang yang kuat, kerajaan yang benar-benar adil tidak wujud.

"Oleh itu, saya minta pengundi di Indera Kayangan faham dan tidak boleh dibiarkan pembangkang dilemahkan selama-lamanya. Mesti diberi peluang kepada pembangkang untuk bersuara dalam dewan sama ada di peringkat negeri atau parlimen," ujarnya.

Beliau berkata, al Quran menyebut sekiranya tidak ada persaingan dunia akan jahanam.
"Sekarang semacam tidak ada persaingan," katanya.

Ditanya mengenai kempen pilihan raya kecil Indera Kayangan yang pasti akan menjadi medan tuduh menuduh katanya, sebelum sampai tempoh berkempen pun ketua kerajaan (BN) sudah menuduh pembangkang sering menyebarkan fitnah.
Katanya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kalau boleh kita sebagai seorang tua, umur pun sudah lanjut... pemerintahan kita sudah lama dah, rakyat tidak payah dituduh-tuduh, kerajaan tidak payah tuduh pembangkang.

"Pembangkang pun belajar di universiti juga. Kemudian datang pula cerita Malaysia sebagai negara Islam tetapi tidak boleh hendak dibahas mengenainya.

"Mereka menganggap orang Kelantan dan Terengganu tidak pandai mengenai Islam, sedangkan kita juga lulusan universiti dalam pengajian Islam.

"Bukan mereka seorang yang faham Islam... kami belajar mengenai perkara itu," ujarnya.
Bagaimanapun beliau hairan mereka (pemimpin) yang bercakap mengenai Islam tidak berapa banyak sangat ilmunya agama.

Beliau juga berkata, sudah menjadi lumrah setiap kali diadakan pilihan raya penggunaan jentera kerajaan berlaku secara berleluasa.

Katanya, mereka yang masuk bertanding dalam pilihan raya ialah parti dan bukannya jentera kerajaan.
Ujarnya, pihak yang melawan pembangkang sekarang adalah jentera kerajaan dan bukan parti sepenuhnya.

"Segala jentera kerajaan, termasuk radio, televisyen dan bermacam-macam lagi sehingga peringkat kementerian... semuanya melawan pembangkang.
"Parti lawan partilah sepatutnya... dan bukannya parti lawan kerajaan.
"Semua benda-benda macam ini perlu dibaiki," tambahnya.

Mengenai potensi di Indera Kayangan, katanya beliau tidak dapat membuat telahan awal kerana belum hadir ke tempat tersebut.

Katanya, lagi pun kawasan itu terletak di kawasan bandar Kangar. Penduduknya ramai bukan bumiputera dan majoritinya hampir 2,000 undi pada pilihan raya umum lalu.

"Saya tidak tahu hakikat sebenarnya kerana belum lagi pergi," ujarnya.
Pilihan raya kecil Dun Indera Kayangan dijangka diadakan tidak lama lagi berikutan kematian bekas Adunnya, Dato' Khor Liang Tee, baru-baru ini.