Kelantan Bersiap Sedia Hadapi AFTA

KOTA BHARU,  - Menteri Besar, melahirkan rasa cemas terhadap kemampuan usahawan-usahawan di negeri ini untuk berdepan dengan persaingan sengit apabila Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dilaksanakan sepenuhnya.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, secara peribadi beliau terasa sedikit cemas dengan perkembangan tersebut. "Cemas semata-mata memikirkan kemampuan usahawan kita untuk berdepan dengan persaingan lebih luas," katanya di majlis taklimat AFTA oleh Pengarah Kerjasama Ekonomi Asean, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mangsor Saad di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darul Naim, semalam.

Hadir sama di majlis taklimat tersebut, Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Menteri Besar berkata, biarpun Malaysia mempunyai kekuatan penyelidikan dan pemasaran, namun apa yang dimiliki negara jiran, Singapura dan Thailand lebih mendahlui negara ini.

"Mereka lebih kukuh di sektor pertanian, dan mereka lebih teguh di sektor pembuatan lain. Di sini letak cabaran menanti kita dengan meningkatkan lagi kualiti produk termasuk mengambil langkah proaktif dan berlipat kali ganda.

"Sehubungan itu, penguasaan IT semakin menjadi satu kemestian kepada pelaksana dasar dan setiap ketua jabatan," katanya.

AFTA dicetus sejak 1992 oleh ketua-ketua negara Asean bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi negara-negara rantau ini. Pelaksanaan dicapai melalui liberalisasi perdagangan serantau dengan menghapuskan tarif dan sekatan bukan tarif. Objektifnya menjadikan Asean sebagai satu destinasi pelaburan yang efisyen dan kompetitif bagi pelabur-pelabur asing.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, AFTA yang diperkenalkan meletak dua perkara utama iaitu cabaran dan peluang. Katanya, pengurangan duti import yang diperkenalkan tidak syak lagi akan menurunkan kos dan merendahkan harga barangan di pasaran. "Suasana persaingan positif akan menguntungkan pengguna di semua negara anggota. "Komoditi pengeluaran bukan hanya terhad di pasaran domestik, malah sempadan terbuka dengan begitu luas," ujarnya.

Menurutnya, abab ke 21 dilihat dengan penuh cabaran termasuk mengurangkan tarif duti import di enam negara anggota asal Asean, akan mencapai matlamatnya pada tahun 2002 apabila AFTA dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar ketika ditemui selepas itu berkata, Kelantan akan merebut peluang sepenuhnya melalui AFTA bagi memacu jentera ekonominya.

Sehubungan itu, usaha ke arah meningkatkan nilai dan bentuk pelaksanaan yang perlu dibuat sedang diusahakan kerajaan negeri. "Kita akan mengadakan seminar khusus bagi tujuan ini untuk menghasilkan bentuk-bentuk pelaksanaannya. Seminar tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur April depan. "Kesan daripada seminar tersebut akan dipergunakan sepenuhnya bagi menghadapi AFTA," katanya.

Selain itu, beliau berkata, usaha-usaha ke arah pelaksanaan AFTA sudah dijalankan termasuk melantik tokoh yang mempunyai pengalaman dalam dunia korporat menerajui sektor pelancongan. Beliau juga melihat persiapan sepenuhnya Kelantan bergantung kepada ketetapan yang dibuat di peringkat Pusat.

"Misalnya sebelum ini ada jaminan Pusat untuk membina rangkaian jalan yang lebih sempurna termasuk di kawasan persisiran bagi menghadapi AFTA. "Kita berharap jaminan untuk membina kemudahan tersebut dilaksanakan kerajaan Pusat," katanya.

Sebelum itu, ketika sesi soal jawab Menteri Besar berpendapat kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya yang lebih sempurna di Kelantan begitu perlu, bagi menghadapi AFTA, memandangkan kedudukannya bersempadan dengan Thailand.