Ahli Politik Jangan Lupa Sejarah

JELI, 23 Jan (Hrkh) - Mursyidul Am PAS menganggap seseorang hanya akan dilabelkan sebagai ahli politik yang bijak, apabila mampu memahami dan mengingati sesuatu sejarah lampau yang berlaku.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekiranya seseorang pemimpin mudah lupa terhadap sejarah lampau, mereka bukan ahli politik tulen. "Kita tidak boleh menjadi seperti orang yang disengat dua kali dari lubang yang sama. Kita perlu mengingatkan kembali kepada sejarah lama yang berlaku," katanya.

Menurutnya, sejarah lampau menjadi asas utama PAS menerima sebarang pelawaan Umno bagi mengadakan perjumpaan untuk membincangkan pelbagai aspek nasional dan bukannya sekadar perpaduan Melayu sahaja.

Beliau berkata, PAS tidak akan melupakan sejarah pernah disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN) pada suatu ketika dahulu, selepas beberapa tahun berada dalam gabungan bersama Umno.

Katanya, PAS disingkirkan setelah hasrat Umno untuk mengembalikan kekuatannya tercapai dengan kehadiran PAS dalam BN.

Akhbar hari ini melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik sebagai berkata, tarikh pertemuan di antara Umno dan PAS bagi membincangkan mengenai perpaduan Melayu belum diputuskan.

Ketika berceramah di Kampung Ayer Lanas di sini, malam semalam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Umno akan melakukan pelbagai tawaran menarik kepada PAS, ketika parti tersebut berada di dalam keadaan tersempit.

Bagaimanapun tambahnya, apabila mereka sudah memperolehi hasil daripada kerjasama dengan PAS, parti itu (PAS) akan ditendang keluar. Menurutnya juga, pertemuan yang dirancangkan di antara pemimpin tertinggi PAS dan Umno boleh diambil iktibar daripada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, di mana pada peringkat awal menguntungkan pihak musuh.

"Namun selepas itu, Nabi Muhamad Saw dapat memasuki Kota Mekkah dengan mudah tanpa sebarang pertumpahan darah," katanya.