M.Roslan MZ

Isu Amanat Haji Hadi timbul kembali secara berleluasa sebagai alat kerajaan untuk mengheret PAS dan YAB Tok Guru Hj. Hadi ke kancah politik kotor UMNO & Barisan Nasional.  Ia meledak seketika selepas kes Al-Maunah tidak lama dulu. Namun berhenti seketika selepas itu, sebelum meledak kembali setelah Majlis Raja-Raja membuat keputusan membenar dan menggalakkan perkataan Islam digunakan oleh semua pertubuhan di negara ini.

Ucapan Hj. Abd. Hadi pada tahun 80-an di Banggol Peradong telah dikaitkan dengan isu kafir mengkafir yang kononnya satu fatwa oleh PAS untuk mengkafirkan ahli UMNO.  Mengapa ia dibangkitkan?. Almaklum bahawa ia sengaja diperbesar-besarkan kerana UMNO menganggap dan menjangkakan isu tersebut memberi faedah politik yang besar bagi mereka dalam menghadapi kebangkitan PAS menjelang 2004.  Di samping ia menjadi senjata politik dalam berhadapan dengan PAS manifestasi daripada cadangan pertemuan Perpaduan Melayu antara pimpinan PAS dan UMNO.

Isu tersebut terus dimanipulasi dengan melampau oleh UMNO sehingga RTM (Kementerian Penerangan) yang dijaga oleh Setiausaha Parlimen yang baru mengeluarkan satu dokumentari ringkas selama 15 minit yang mengaitkan Amanat Haji Hadi dengan isu mengkafirkan orang UMNO. 

Ucapan Hj. Hadi yang dikaitkan kononnya sebagai  fatwa dan Amanat Hadi diulas oleh sebahagian besar pemimpin UMNO terutamanya Rais Yatim dan Najib Tun Razak. 

Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Dato' Ismail Ibrahim yang juga mengemudi IKIM (Instistut Kefahaman Islam Malaysia; atau lebih cenderung kepada kefahaman Islam ala Mahathir) menyatakan kesanggupan untuk membincangkan perkara itu.  Beliau bersetuju untuk berbincang dengan YAB Hj. Hadi sendiri bagi menyelesaikan kemelut berkenaan amanat tersebut yang telah lama berlarutan.

Ia disambut dengan berlapang dada oleh YAB Tok Guru Hj. Hadi kerana keyakinan beliau terhadap apa yang beliau ucapkan tersebut.  Sebagai orang yang bertanggungjawab, beliau sentiasa bersedia untuk bermuzakarah dnegan semua pihak terutama pemimpin UMNO bagi menjelaskan ucapan beliau yang dikatakan fatwa dan amanat oleh pemimpin UMNO.

Namun begitu, setelah berbulan isu amanat Hj. Hadi diperalatkan oleh media kerajaan dan para pemimpin UMNO, setelah para pemimpin PAS  bersedia dan menyeru agar didakan muzakarah antara Hj. Abd. Hadi dengan Majlis Fatwa Kebangsaan serta pemimpin UMNO, Majlis Fatwa Kebangsaan pada hari ini (2 Mei- Siaran TV3 Buletin Utama) menyatakan bahawa Muzakarah antara Majlis Fatwa Kebangsaan dengan YAB Tuan Guru Hj. Abd. Hadi dibatalkan kerana pihak-pihak tertentu telah memperalat dan mensensaikan isu amanat Hj. Hadi tersebut.

Kita amat dukacita diatas pembatalan tersebut kerana ia sebenarnya sengaja dipolitikkan oleh pemimpin UMNO dan kerajaan. Apa dah jadi dengan Majlis Fatwa Kebangsaan? Sebab muzakarah dibatalkan seperti kenyataan Dato' Ismail Ibrahim tersebut mengelirukan dan ganjil kerana alasan pembatalan muzakarah ialah atas sebab ada pihak sengaja memperbesarkan isu tersebut. Siapa yang memperbesar-besarkan amanat tersebut, jika tidak UMNO. Adakah ada muslihat bahawa UMNO cuba menggagalkan muzakarah tersebut.

Secara logik, jika sebab tersebut seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa, maka jelas bahawa UMNO sebenarnya tidak bersedia untuk bermuzakarah dengan Hj. Hadi dan tidak mampu  membukti dan mensabitkan Haji Hadi sebagai bersalah mengkafirkan orang UMNO. Tiada ruang bagi UMNO mensabitkan Haji Hadi berkaitan ucapan tersebut kerana UMNO  sebenarnya terbeban di pihak yang salah. Kerana sebenarnya Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan satu "rulling" atau pendirian/keputusan mutlak mengenai  Amanat Haji Hadi.

Mungkin juga UMNO ingin menutup tirai isu tesebut kerana nyata ia menjadi bebanan menanggung yang merugikan mereka. Jika pendapat Rais Yatim diterima, maka itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh UMNO dari keputusan Majlis Fatwa tersebut.  Dari awal, Rais berkata bahawa amanat Haji Hadi yang dibangkitkan tidak memberi keuntungan kepada UMNO sebaliknya akan memberi kelebihan kepada PAS.

Ternyata telahan Rais benar sehingga membawa kepada pembatalan muzakarah tersebut.
Pembatalan yang diumumkan oleh Pengerusi Majlis Fatwa boleh dikatakan sebagai keputusan dipihak kerajaan khususnya UMNO. Kerana UMNO sejak awal cuba mengelak untuk bermuzakarah, sebaliknya membebankan Dato' Ismail Ibrahim sebagai orang yang bertindak sebagai wakil UMNO. Akibatnya, Dato' Ismail terpaksa membuat keputusan berat yang jelas  menggambarkan ketidakmampuan UMNO untuk bermuzakarah dengan PAS.