MAIK DIINGAT PATUHI WAKTU KERJA KERAJAAN KELANTAN

KOTA BAHARU, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan pimpinan PAS meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) supaya mematuhi waktu bekerja lima hari seminggu seperti yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri sejak 1 Jan 1996.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan tempatan dan Pembangunan Wilayah Kelantan Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mendapat laporan ada jabatan berkanun Kerajaan Negeri termasuk MAIK masih bekerja mengikut waktu bekerja yang diamalkan oleh agensi dan jabatan Kerajaan Pusat.

"Setakat ini MAIK belum menerima pakai Pekeliling bilangan 8 Tahun 1995 mengenai waktu kerja walaupun pada satu masa dahulu mematuhinya," katanya pada sidang berita di pejabatnya di pusat pentadbiran negeri Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Bernama yang menghubungi MAIK dimaklumkan bahawa majlis itu bekerja mengikut masa yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat iaitu Khamis adalah separuh hari bekerja dan Jumaat cuti mingguan.

Kakitangan MAIK juga menikmati cuti tambahan pada setiap Sabtu minggu pertama dan ketiga seperti yang diamalkan oleh semua kakitangan Kerajaan Pusat sejak tahun lepas.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8, tahun 1995 Kerajaan Kelantan mengarahkan semua jabatan, badan berkanun dan penguasa tempatan Kerajaan Negeri itu supaya mengamalkan waktu bekerja baru yang berbeza daripada waktu bekerja kerajaan pusat.

Pekeliling itu menetapkan setiap Jumaat dan Sabtu sebagai cuti mingguan manakala waktu bekerja adalah dari pukul 8 pagi hingga 4.45 petang.

Takiyuddin berkata semua agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri perlu mematuhi pekeliling itu dan sekiranya masih engkar mereka boleh dikenakan tindakan.

Amaran Kepada Pegawai Kerajaan

Takiyuddin juga memberi amaran kepada pegawai Kerajaan Negeri supaya tidak membuat kenyataan secara terbuka hingga menyalahi Perintah Am, Bab D Peraturan 17 (1) yang menghalang seseorang pegawai membuat pernyataan awam berhubung apa-apa dasar dan program kerajaan.

Beliau berkata amaran itu dikeluarkan khasnya kerana tindakan seorang pegawai tinggi Kerajaan Negeri yang membuat kenyataan umum mempersoalkan kewibawaaan dan dasar Kerajaan Negeri seperti yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar nasional, Jumaat lepas.

"Saya ingatkan pegawai ini supaya hentikan segera tindakan ini.

Jangan keluarkan kenyataan yang tidak benar, tidak betul dan salah daripada segi Perintah Am," katanya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Wan Mohamad Wan Konok dalam sidang berita Khamis lepas mendakwa masalah membabitkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) dilihat berpunca daripada ketidakjujuran Kerajaan Negeri melaksanakan keputusan Kabinet dan Majlis Kerajaan Tempatan.

Menurut Wan Mohamad Kabinet dan Majlis Kerajaan Tempatan memutuskan supaya jawatan itu diisi oleh pegawai sepenuh masa seperti yang diamalkan di negeri-negeri lain.

Tetapi jawatan YDP MPKB bagi tempoh dua tahun penggal baru yang bermula awal bulan ini disandang oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Bharu Ramli Abu Bakar.

Takiyuddin berkata beliau juga dimaklumkan bahawa kenyataan pegawai itu dibuat tanpa mendapat arahan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Datuk Wan Hashim Wan Daud.

"Saya juga menyatakan pergawai berkenaan tiada kapasiti atau kedudukan untuk membuat kenyataan ini kerana kalau pun ada kenyataan daripada pihak pentadbiran kerajaan ianya mesti datang daripada Datuk SUK," katanya.

Beliau memberi amaran untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya masih terdapat pegawai kerajaan yang ingkar dan bertindak hingga menyalahi Perintah Am.

Berhubung dengan isu pelantikan jawatan YDP MPKB itu, Takiyuddin berkata beliau akan memberi penjelasan pada 31 Jan ini.