Analisa politik

Umno Era Mahathir Semakin Dilupakan

KOTA BHARU, 11 Jan (Hrkh) - Umno dijangka menghadapi krisis kepemimpinan yang parah apabila Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad tidak lagi berada di puncak kekuasaan. Pemerhati politik berpendapat, ketokohan yang ada pada barisan kepemimpinan sekarang tidak mampu lagi untuk memulih Umno yang sudah parah digelumangi pelbagai kemelut.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disebut-sebut sebagai pengganti paling hampir, dilihat tidak mampu untuk melayari bahtera Umno merempuh gelombang semakin membesar. Pak Lah tidak mampu untuk memanjangkan lagi riwayat Umno, bila berdepan reformasi menuntut negara ke arah keadilan, ketelusan, dan anti rasuah.

Bekas pegawai kanan di Kementerian Kewangan, Anual Bakhri Haron berkata, seseorang pemimpin yang cemerlang perlu mempunyai bakat sebagai pemidato terbaik. "Namun apa yang ada pada Pak Lah sekarang tidak mampu untuk menarik khalayak di pentas-pentas politik," katanya.

Beliau juga melihat Timbalan Presiden Umno itu tidak mempunyai wawasan sendiri dan lebih senang kepada arahan yang dibuat pihak lain. Biarpun sebelum ini, dia dianggap mempunyai pertalian rapat dengan keluarga ulamak, namun kehidupannya sekarang tidak mencermin ke arah itu. "Pak Lah seharusnya ingat pasport paling penting pemimpin alaf baru, perlu mempunyai ciri-ciri kepemimpinan ulamak, adalah amat sukar sekali untuk dia dinobatnya di bawah ruang lingkup itu," tambahnya.

Pemerhati politik pula menelah Tun Daim Zainuddin yang dianggap paling rapat dengan ketiak Mahathir, pula tidak mempunyai semangat politikus tulen. Katanya, Bendahari Umno itu lebih selesa untuk mengumpul kekuatan diri sendiri dan kurang layak menjadi nahkoda bagi mengharungi gelombang politik yang sentiasa panas. Manakala naib-naib presiden Umno sekarang, iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tan Sri Mohamad Mohamed Taib sudah mencatat rekod tersendiri dalam diari politik Malaysia.

"Rakyat sudah kenal siapa mereka, dan sejarah lalu sudah cukup untuk membuktikan ketidakmampuan memikul tanggungjawab yang lebih besar," kata seorang kontraktor tempatan yang enggan mendedahkan identitinya. Begitu juga dengan anggota-anggota majlis tertinggi (MT) lain, dilihat tidak mampu untuk mengisi ruang dalam kepemimpinan Umno pada masa akan datang.

Anual Bakhri berkata, sindrom ketandusan pemimpin untuk menerajui Umno selepas era kejatuhan Dr Mahathir cukup terasa sekali sekarang. Katanya, berdasarkan kepada senario terkini, kepemimpinan Umno seolah-olah berada di padang pasir yang begitu gersang dan menanti masa dihanyutkan hujan gurun.

Sementara itu, sumber Pemuda Umno Kelantan mendedahkan, ahli yang ikhlas berjuang untuk kepentingan awam dalam Umno sekarang sudah lama terhakis. "Sekali musim bah, sekali pantai berubah," tambahnya. Katanya, begitu sukar sekali sekarang untuk mencari mereka benar-benar ikhlas berjuang dalam parti itu kecuali sarat dengan agenda peribadi. "Sebab itu sekarang Umno cuba bergerak ke bawah, untuk mencari pelapis bagi mendokong kembali perjuangan parti tersebut," ujarnya.

Beliau mengakui golongan muda sekarang sudah beralih sokongan kepada Barisan Alternatif (BA) yang dilihat mempunyai kemantapan perjuangan dan sejiwa dengan kehendak rakyat.

Anual Bakhri yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan berkata, kewibawaan barisan pelapis pemimpin muda BA cukup menonjol sekali, di mana mereka lebih rapat dengan perjuangan rakyat. Katanya, ketahanan mental dan fizikal yang ada pada pemimpin pelapis BA akan mendewasakan mereka dengan ruang lingkup perjuangan lebih luas.

Menurutnya, pengalaman paling mahal bagi perjuangan mereka apabila sanggup merengkok dalam penjara atau lokap polis semata-mata untuk menyatakan kebenaran dan keadilan. "Biarpun dihumbang bersama penagih dadah, pembunuh dan penjenayah dalam lokap, namun mereka tidak pernah serik keluar masuk jerejak besi demi perjuangan. "Keadaan ini cukup berbeza sekali dengan Umno. Pemimpin pelapis BN sering dimanja dengan pelbagai kemudahan sehingga bisa daya kepemimpinan sejati sudah digadai dengan kemewahan," katanya.

Menurutnya, pemuda BN hanya mampu merangka program di atas kertas dan tidak berkemampuan mempraktikkan di khalayak ramai. Mereka cukup panik dengan tuntutan reformasi dan kritikan pihak luar. Ada kalanya, lakonan mereka cukup pincang dan gerak tarinya sudah diketahui musuh.  Ini jelas menggambarkan pemuda Umno dan BN sudah hilang sengat dalam perjuangan. Jarak perjuangan dengan pemuda BA semakin jauh, di mana mereka sering diasak dengan lokap, jel, gas pemedih mata dan belatan polis.

Anual juga melihat kemungkinan besar Umno akan hilang dalam pentas politik Malaysia, apabila era ketuanan Mahathir jatuh selepas ini. Pemerhati politik berpendapat BA akan menjadi medan untuk mempertautkan semula rakyat berbilang bangsa, bagi memacu semula kerajaan yang diimpikan rakyat.

Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, Allah sudah menjanjikan perjuangan yang ikhlas dan benar, lambat laun akan berada di puncak kejayaan. "Janji Allah itu tidak mampu dinafikan oleh sesiapa pun dan akan tiba masanya tidak lama lagi. "Cuma apa yang perlu bagi pendokong-pendokong keadilan sekarang hanya bersabar menanti saat dan ketikanya meraikan kejatuhan kerajaan zalim," katanya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub melahirkan rasa loya teramat sangat terhadap usaha Umno untuk mencanang gagasan peryatuan Melayu. Gagasan itu tidak lebih sebagai batu loncatan untuk menyambung kembali nyawa-nyawa subsidi yang masih bernadi dalam saraf Umno.