Mengapa Pandangan

Majlis Mufti Disanggah?

Pandangan Majlis Mufti-mufti Kebangsaan berkenaan pengaruh negatif hasil tayangan Bollywood dipandang begitu sinis serta disanggah oleh masyarakat awam dan akademik. Mengapa boleh jadi demikian?. Di mana salahnya.

Kedudukan dan Peranan Mufti


Peranan para mufti atau para ulama’ sepatutnya dihormati dan dipercayai oleh rakyat dalam dalam apa jua yang mereka sarankan, tetapi malangnya di Malaysia hal sedemikian adalah sebaliknya. Mufti sebenarnya mempunyai kedudukan yang tinggi dalam tradisi Islam. As-Syatibi berpandangan bahawa mufti mengambil peranan yang dimainkan oleh Nabi SAW. Ini kerana mereka mewarisi keilmuan Nabi dan berperanan menyampaikan hukum Islam kepada orang ramai. (Lihat Al-Muafaqat: Kaherah, Subaih (t.t), Jld 4, ms 126) . Perana mereka bolehlah dikatakan menyerupai perana Muadz Bin Jabal yang diberi hak memberi fatwa berkenaan hukum Islam semasa berjauhan dengan Nabi SAW.(Lihat Muhammad al-Khudari, Usul al-Fiqh, Kaherah, al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1962, ms 410 )


Menurut undang-undang Pentadbiran Hukum Islam di Malaysia. Mufti boleh bertindak secara pro-aktif atau berasaskan permintaan mana-mana pihak. Bagaimanapun fatwa hendaklah dibuat melalui satu Jawatankuasa Syariah yang dipanggil bersidang oleh mufti, kemudian fatwa tersebut mestilah diwartakan.(Lihat Seksyen 30 dan 33 Enakmen Pentadbiran Hukum Syariah NS 1991)


Mengapa Mufti disanggah

Tajuk utama Utusan Malaysia begitu jelas memaparkan bahawq pandangan Mufti disanggah. Kenyataan mufti mengenai pengaruh negatif Bollywood tersebut juga dibidas oleh orang awam, Penggiat Filem, Ahli Akademik dari Fakulti Seni, Media dan persembahan. Walaupun demikian pandanagn Mufti disokomng pula oleh Pertubuhan Pelajar Islam, NGO seperti Teras, ABIM dll.


Saya kira, sebab-sebab berikut mungkin menjadi punca kenyataan mufti disanggah serta tidak dihormati:


1. Pandangan mufti tersebut terlalu khusus atau kecil skopnya, mereka meninggalkan kritikan dan pertikaian pengaruh negatif daripada Filem-filem Barat dan Hong Kong dll. Mereka sepatutnya harus lebih berhati-hati dan memberi pandangan yang komprehensif terutamanya apabila pandangan tersebut ‘melawan arus’ minat dan kecenderungan awam dalam sesuatu perkara.

2. Mufti dan Badan-badan Islam sering disalahkan oleh kerajaan dalam tindakan mereka, ‘trend’ ini kini dituruti oleh rakyat jelata. Malah Mufti kerap kali digambarkan membuat kesilapan oleh media kerajaan dan kerajaan sendiri walaupun mereka memperkatakan yang benar. Umpamanya kes Bekas Mufti Selangor, Datok Hj Ishak Hj Baharom dalam isu tangkapan 3 orang Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik. Selain itu kes ‘kesilapan’ Jabatan Agama Islam Selangor dalam menangkap individu Melayu Islam di PUB The Ship atas tduhan menghina Islam. Keadaan ini menyebabkan imej badan-badan Islam buruk dan kelihatan tidak ‘up to date’ dan tidak profesional dalam tindakan mereka. Inilah akibat pengaruh negatif budaya meminggirkan Islam di Malaysia.

3. Peranan dan Kewibawaan Institusi Ulama’ kian dipinggir dan tidak dirasai peranannya oleh Masyarakat. Bukan sekadar masyarakat malah kerajaan sendiri tidak menghormati pandangan mufti. Umpamanya dalam kes Tugu Negara  yang diputuskan oleh Majlis Fatwa suatu masa dulu sebagai haram,  tetapi ianya tidak diwartakan akibat bantahan kerajaan BN. Sehingga hari ini, menurut pandangan rakyat kebanyakkan, peranan mufti hanyalah membaca doa di majlis-majlis rasmi kerajaan atau mengendalikan majlis-majlis tahlil VIP, mendoakan pemergian Sultan atau VIP tertentu dan beberapa tugasan kecil lain, tidak lebih dari itu. Hal ini, menyebabkan kelayakan mereka tidak diletakkan dalam urusan sebenar.

4. Terdapat juga kumpulan Masyarakat yang tidak mengetahui kewibawaan para mufti
dan memandang mereka sebagai sebuah badan ‘pengacau’ dan ‘pencabar’ kepada industri hiburan tanahair yang berselindung disebalik nama ‘seni’. Semua berpunca daripada semangat ‘hedonisme’ yang semakin membuak dengan kemasukan para penyanyi antarabangsa  bersama konsert-konsert muzik ‘hits’ mereka.

5. Kedudukan Islam dan ‘Islamic Konwledge’ semakin dipinggirkan oleh dasar-dasar sekular kerajaan Barisan Nasional menyebabkan teguran-teguran terhadap hiburan dianggap tidak tepat dan mengarut. Minat rakyat kepada Pengetahuan Islam semakin mencetek terutamanya apabila ulama’ berwibawa dan diminati ramai di’gam’. Ini menyebabkan peminggiran semakin nyata. Keadaan semakin buruk apabila pelajar-pelajar lepasan Agama gagal mencari pekerjaan akibat bidang mereka tidak diinginkan oleh ‘Pembangunan Material Negara’ tajaan UMNO/BN. Syarikat-syarikat besar tidak langsung ingin mewujudkan satu unit kegamaan dalam syarikat besar mereka untuk bertanggung jawab dalam memastikan akhlak para pekerja terjaga dan seterusnya menepati ciri pekerja amanah. Lalu, bidang pengajian agama akan kesepian kelak.

6. Majlis Mufti terlalu ‘senyap’ dan ‘terlena’ dalam pelbagai masalah dan isu negara tiba-tiba dalam isu Bollywood mereka menyatakan pandangan
.  Maka ini memeranjatkan dan sukar diterima oleh rakyat kerana Majlis tersebut tidak mempunyai ‘track records’  atau imej yang baik sebelum ini dan peranan sangat jarang dilihat. Kita ingin mempersoalkan mengapa Majlis ini tidak bersuara dalam pelbagai isu besar yang berlaku seperti :

1
. Pemisahan Islam dan politik.
2. Pengamalan politik suku agama suku.
3. Siaran keagamaan yang begitu sedikit di dalam TV.
4. Keghairahan media massa dan penerbitan majalah-majalah menyiarkan bahan berbentuk  semi lucah.
5.
Keterlibatan pelaburan wang amanah di dalam industri haram.
6. Ekonomi berteras riba di bawah sistem konvensional dan banyak lagi.
7. Peminggiran hukum Islam.
8. Gejala Murtad yang berleluasa.
9. Penyelewengan hukum syariah daraipada yang sebenarnya.

Sebagai contoh sila rujuk Akta Mahkamah Syariah ( Bidang Kuasa Jenayah ) menyatakan hukum yang bertentangan dengan hukum Islam sebenar seperti: 

Bahagian IV, Seksyen 21dan 23;

1.   Mana-mana perempuan yang melacurkan dirinya dan dithabitkan kesalahan.

Hukuman
: Denda tidak lebih RM 5000, Penjara tidak lebih 3 tahun atau sebat  tidak lebih 6 kali sebatan.

2. 
Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang BUKAN suaminya yang sah serta dithabit kesalahannya.

Hukuman : Denda tidak lebh RM 5000, Penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat dengan tidak  melebihi 6 kali sebatan.

Allah SWT sangat murka terhadap apa-apa undang-undang yang dibuat sendiri oleh tangan manusia kemudian dinamakan dengan nama-nama Islam seperti Mahkamah Syariah seolah-olah undang-undangnya datang dari Allah. Allah SWT berfirman :


Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

(Al-Baqarah : 79 )

Saya begitu yakin para mufti tentu faham akan tafsir ayat ini. Apakah pandangan    mufti terhadap perkara ini?.

Sekurang-kurangnya majlis mufti-mufti kebangsaan aktif dalam memberikan pandanagn membina dalam pelbagai sudut kehidupan dari perspektif Islam kepada masyarakat. Apa yang menyedihkan majlis mufti kelihatan begitu takut sekali untuk bercanggahan pandangan dengan pemerintah. Dalam kes Bollywood, Datuk Dr Ismail Ibrahim selaku Pengerusi Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa kenyataan tersebut bukan kenyataan rasmi Majlis Fatwa. Lantas apakah kenyataan rasminya?, adakah Pengerusi Majlis Fatwa menghalalkan kebanjiran rancangan Bollywood di Malaysia dan menyatakan tiada mudharat daripadanya?!.


Mufti pula hanya berdiam diri sehingga kelihatan ‘pengecut’ dan akur tanpa bantahan dengan suara awam. Ini menggambarkan pandangan mereka sememangnya kurang tepat dan kebanyakan mereka tidak ingin mempertahankan hujjah mereka kecuali Datuk Seri Harussani Zakaria yang kemudiannya bersetuju sekiranya seluruh stesyen Televisyen ditutup. Memang benar, YB Dato’ Kamaruddin Jaffar ( Ahli Parlimen Tumpat ) pernah mengutarakan persoalan pecahan peratusan rancangan yang diterbitkan di Televisyen semasa persidangan Dewan Rakyat 2000 dan jawapan Kementerian begitu mengejutkan iaitu stesyen TV samada TV1,2, TV3 dan NTV7. Semuanya mempunyai rancangan pembinaan berunsur agama kurang daripada 8% dan NTV 7 mempunyai 0 % rancangan agama.


Dalam keadaan Institusi Mufti masih banyak persoalan kewibawaan tiba-tiba Pengerusinya sibuk mengulas pertemuan tertangguh PAS-UMNO ‘Perpaduan Melayu- versi UMNO’ yang tiada kena mengena dengan bidang tanggungjawab utamanya. Mengutarakan pandangan persis pimpinan UMNO.


Justeru, demi mengembalikan kewibawaan majlis Mufti yang kelihatan tiada tentuan arah tujunya hari ini adalah lebih baik sekiranya hali-ahlinya ditambah dengan ulama’-ulama’ antarabngsa yang iada kepentingan di Malaysia seperti ulama-ulama’ terkenal Prof. Dr. Yusoff Al-Qaradhawi, Dr. Mannaq Qathan, Dr Wahbah Az-Zuhaili, Dr. Said Ramadhan al-Buti dan ramai lagi.


Oleh,

Zaharuddin Hj Abd Rahman

Email      : zaharuddin@yahoo.com
Tarikh   : 22 Februari 2001

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan