MPKB Kunci Kenderaan Tidak Ikut Peraturan

KOTA BHARU, 30 Jan (Hrkh) - Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 2000 yang diwartakan 21 Disember tahun lalu mula dikuatkuasakan hari ini membabitkan 34 pegawai penguatkuasa.

Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar berkata, mengikut undang-undang baru itu, mana-mana kenderaan yang didapati melanggar peraturan termasuk meletak kenderaan sesuka hati atau tidak membayar 'parking' akan dikenakan tindakan termasuk mengunci tayar disamping kompaun maksimum RM300 bagi setiap kesalahan. K

atanya, undang-undang itu dikuatkuasakan bertujuan menyedarkan pemilik kenderaan yang tidak membayar ketika meletak kenderaan mereka di petak meletak kereta di kawasan majlis itu. Tambahnya, ia juga bagi menyelesaikan masalah tunggakan pemilik kenderaan yang tidak membayar 'parking' berjumlah lebih RM1 juta sepanjang tempoh lima tahun lalu.

"Tujuan kita menguatkuasakan undang-undang ini bagi memastikan semua pemilik kenderaan mengikut peraturan dan tidak meletak kenderaan mereka sesuka hati sebagaimana sebelum ini. "Pewartaan undang-undang baru ini adalah selaras kuasa yang diberi mengikut seksyen 72, Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana MPKB diberi kuasa melaksanakan perintah berkenaan di 75 lokasi jalan di sekitar kawasan pentadbiran MPKB," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada kakitangan MPKB berhubung penguatkuasaan undang-undang baru itu, di sini, semalam.

Taklimat itu disampaikan Pegawai Undang-Undang MPKB, Apandi Hamzah. Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MPKB, Kamarudin Mohd Zin.

Tambah Ramli, sebelum ini ramai pemilik kenderaan tidak membayar caj meletak kereta di samping tidak meletak kenderaan mereka bukan di tempat yang disediakan. "Sepanjang tempoh lima tahun lalu MPKB mengalami kerugian lebih RM1 juta akibat tindakan pemilik kenderaan yang enggan menjelaskan notis bayaran letak kereta.

"Justeru itu, kita terpaksa mengambil tindakan lebih tegas apabila pewartaan perintah baru ini dikuatkuasakan membabitkan 34 pegawai penguatkuasa selain 10 pegawai khas Unit Kunci Tayar," katanya.