NGO perlu ganding bahu bendung gejala sosial

KOTA BHARU, 29 Jan - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa memain peranan lebih aktif membantu kerajaan untuk membendung masalah sosial yang masih di tahap membimbangkan.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan, Ustaz Mustafa Mat Daud berkata, tanpa kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan NGO amat sukar untuk membendung masalah sosial di kalangan remaja.

Katanya, badan-badan NGO boleh memain peranan antaranya mengadakan siri-siri motivasi bertujuan memberi kesedaran kepada golongan remaja untuk membina masa depan mereka.

Menurut beliau, program motivasi amat penting di kalangan remaja kerana menerusi aktiviti tersebut mereka mempunyai pemikiran yang lebih terarah dalam mengharungi cabaran kehidupan generasi muda.

Selain itu katanya, pihak ibu bapa turut memain peranan penting memastikan kecemerlangan akademik anak masing-masing. "Badan-badan seperti NGO patut memberi perhatian serius bagaimana untuk membantu menangani masalah sosial kerana golongan remaja merupakan golongan yang manja dan memerlukan perhatian yang lebih daripada masyarakat.

"Golongan ini perlu sentiasa diberi kesedaran menerusi program motivasi agar kecemerlangan akademik seiring dengan pemikiran yang positif," katanya ketika berucap pada program Motivasi Kerjaya Belia dan Dialog Bersama Profesional Muda Muslim di sini, baru-baru ini. Program itu dirasmi Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Haji Saari Salleh.