Wan Mohamad Langgar Pekeliling Kerajaan

KOTA BHARU, 29 Jan - Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Wan Mohamad Wan Konok dianggap tidak mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kenyataan bagi pihak istana, berhubung isu penarikan balik darjah kebesaran kepada dua anggota Exco.

Kenyataan seperti itu sepatutnya dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan bukannya timbalannya atau pegawai kanan lain. Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan berkata, pegawai kanan kerajaan negeri tidak boleh membuat kenyataan akhbar, yang tiada kaitan bidang kuasanya.

"Mana-mana pegawai tadbir negeri (PTN) yang mengeluarkan kenyataan tanpa ada hubung kait dengan bidang tugasnya ia adalah salah dari segi peraturan perintah-perintah am.

"Sehubungan itu, kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang mengeluarkan kenyaatan di luar bidang tugasnya, tanpa kebenaran bertulis dari pihak kerajaan," katanya pada persidangan media di sini, semalam.

Menurutnya, sekiranya diarah mengeluarkan sesuatu kenyataan oleh pihak kerajaan, pegawai harus menyatakan fakta yang betul, dan bukannya mencipta sendiri sesuatu dakwaan.

Khamis lalu, Wan Mohamad membuat kenyataan media mengenai penarikan darjah kebesaran oleh Sultan Kelantan terhadap Takiyuddin dan seorang lagi anggota Exco, Ustaz Mohamad Daud. Timbalan Setiausaha Kerajaan itu, menjelaskan penarikan balik darjah kebesaran adalah hak mutlak Sultan tanpa perlu diberitahu sebab-sebabnya.

Pada sidang media yang sama, beliau seolah-olah cuba mempertikaikan pelantikan Adun Wakaf Bharu, Haji Ramli Abu Bakar sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB)yang dianggap tidak mengikut keputusan terbaru kabinet.

Menurutnya, jawatan itu sepatutnya diberi kepada pegawai tadbir negeri dan bukannya orang politik.

Takiyuddin berkata, kenyataan yang dibuat pegawai kanan tersebut bukan sahaja menyalahi perintah am perkhidmatan, malah tidak tepat.

Pemangku Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Ustaz Mohamad Hussin menyifatkan tindakan yang dilakukan Wan Mohamad seperti ada udang di sebalik batu.

Katanya, sebagai pegawai yang berkhidmat di bawah kerajaan yang dipilih majoriti rakyat, dia tidak sepatutnya mengeluarkan sesuatu kenyataan tanpa mendapat keizinan kerajaan.

Katanya, sepatutnya konsep 'government in the day' diguna pakai oleh setiap pegawai kerajaan dan bukannya merangka agenda sendiri. "Bukan masanya untuk pegawai terbabit menonjolkan dirinya menjadi jaguh bagi pihak lain," tambahnya.

Menurutnya, rakyat melihat tindakan dilakukan pegawai berkenaan kemungkinan mempunyai motif tertentu kerana sanggup melanggar pekeliling yang ditetapkan kerajaan. Beliau berkata, sepatutnya pegawai di Kelantan belajar dari Setiausaha Kerajaan Terengganu yang banyak memberi contoh terbaik bagi membantu kerajaan dan bukannya cuba bermusuh.

Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yaakob berkata, amat malang sekali sekiranya seorang yang diamanah rakyat gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri. Menurutnya, keadaan yang berlaku sekarang akan mencerminkan kreadibiliti pegawai terbabit di mata umum, yang memperlihatkan ada kepentingan tertentu di sebalik tindakannya.