Banjir: RM10 juta baiki kerosakan jalan

KOTA BHARU, 16 Jan (Hrkh) - Kira-kira RM10 juta diperlukan bagi membaiki jalan-jalan utama dan jalan kampung di negeri ini ekoran kejadian banjir yang berlaku pada akhir tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Kemudahan Awam, Kebudayaan dan Pelancongan, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, jumlah tersebut melibatkan peruntukan negeri sebanyak RM2.4 juta dan Persekutuan (RM7.5 juta).

Katanya, peruntukan kerajaan negeri bagi membaiki kerosakan tersebut diambil dari Peruntukan Luar Jangka atau Bencana Alam.

"Antara peruntukan terbesar yang digunakan bagi membaiki jalan-jalan negeri iaitu di Gua Musang membabitkan kos RM600,000; Kuala Krai (RM330,000) dan Jeli (RM310,000)," katanya di sini.

Selain itu, beliau juga berkata, JKR negeri sedang berusaha mendapatkan peruntukan dari kerajaan Persekutuan bagi membaiki kerosakan jalan-jalan utama.

Kerosakan paling teruk berlaku bagi jalan-jalan di bawah persekutuan itu di Pasir Puteh membabitkan kos RM3.6 juta, Machang (RM2.4 juta), Jeli (RM350,000) dan Pasir Mas (RM337,000).

Ketika banjir melanda Kelantan penghujung tahun lalu, dua jambatan di jalan utama rosak teruk iaitu di Pulai Chondong dan Pasir Puteh.

Ekoran itu, jambatan sementara dua lorong dibina bagi memudahkan kenderaan melaluinya.

Bagaimanapun kesesakan di jambatan tersebut begitu ketara sekali pada sambutan Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini.

Malah, di Pulai Chondong kenderaan terpaksa berbaris panjang lebih dua kilometer.