Rakyat perlu bantah pelantikan Mokhtar

KOTA BHARU, 27 Jan (Hrkh) – Institusi kehakiman di negara ini dianggap masih tercemar dan belum pulih sepenuh, biarpun Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara baru dilantik.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, kecurigaan rakyat terhadap institusi tersebut muncul semula setelah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini.

Katanya, rakyat mempunyai banyak pengalaman sepanjang Tan Sri Mokhtar menjadi Peguam Negara, yang dianggap melakukan pendakwaan terpilih bagi kepentingan ketuanya.

“Bekas Peguam Negara terbabit tidak melakukan pendakwaan terhadap laporan rasuah yang dibuat pemimpin pembangkang terhadap Dato’ Seri Rafidah Aziz, sebaliknya melakukan penadakwaan secara luar biasa terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng,” katanya pada ceramah di Taman Guru di sini, malam tadi.

Menurutnya, rakyat mempersoalkan kewibawaan yang ada pada Mokhtar berdasarkan kepada rekod perkhidmatannya sebelum ini.

“Kita juga tidak dapat menolak suatu kemungkinan besar, tokoh terbabit akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada masa akan datang, sekiranya rakyat tidak bangkit membantah pelantikannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Rakyat perlu melakukan sesuatu dari sekarang, sekiranya tidak mahu jawatan tertinggi pada institusi kehakiman di negara ini diberi kepada tokoh berkenaan,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap Mokhtar meletak jawatan sekarang atau kerajaan melucutkan jawatan tersebut yang diberi kepadanya baru-baru ini, ekoran ketidakpuasan hati rakyat terhadapnya.

Beliau melihat apa yang dilakukan Dato’ Seri Dr Mahathir sekarang adalah untuk melambat-lambatkan kebangkitan rakyat menentang ketidakadilan yang berlaku sekarang.

Katanya, perkembangan terbaru itu adalah satu lagi sandiwara yang dilakukan Dr Mahathir untuk terus mempertahankan kekuasaannya.

Mahfuz juga melihat pemimpin-pemimpin Umno tidak ikhlas apabila cuba menafikan orang Melayu di negara ini ketinggalan di belakang berbanding orang Melayu di Singapura.

Katanya, majoriti orang Melayu di negara ini sekarang masih terhimpit dalam kemelut kehidupan terutamanya peneroka-peneroka kelapa sawit dan penoreh getah, apabila mereka terpaksa berdepan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut.

“Inilah hakikat sebenar yang dialami orang Melayu di negara ini dan pemimpin Umno tidak  perlu  menafikan perkara tersebut,” katanya.

Menurutnya apa yang ditimbulkan kononnya ramai orang Melayu yang berjaya, mereka adalah segelintir kroni Umno sahaja.

Menurutnya, korporat tajaan Umno itu mendapat kekayaan hasil daripada duit rakyat.

Katanya, berbilion ringgit duit rakyat digunakan secara mudah oleh pemimpin utama Umno, semata-mata untuk kepentingan segelintir kroninya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan orang Melayu di negara ini masih ketinggalan berbanding orang Melayu di Singapura, sebagaimana didakwa Perdana Menteri republik tersebut, Goh Chock Tong, baru-baru ini.