KELANTAN HANTAR WAKIL JUMPA DAIM MENGENAI GERAN PER-KAPITA

 

KOTA BAHARU, 2 Ogos -- Kerajaan negeri akan menghantar rombongan peringkat tertinggi menemui Menteri Kewangan Tun Daim Zainudin tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pentadbiran Awam Negeri Takiyudin Hassan berkata selain kunjungan hormat, rombongan itu juga akan membincangkan masalah geran per-kapita yang lewat diterima kerajaan negeri setakat ini.

"Kita sedang mengatur pertemuan berhubung geran itu yang sepatutnya sudah diterima dua kali setiap tahun belanjawan iaitu Januari dan Julai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco negeri di sini hari ini.

Takiyuddin berkata sebagai contoh, geran per-kapita yang sepatutnya diterima Januari tahun lepas hanya diterima pada September manakala geran bagi Julai tahun yang sama hanya diterima Januari tahun ini.

Katanya rombongan itu akan diketuai Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Hashim Wan Daud, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasom dan beliau sendiri.

Kelewatan pemberian geran menyukarkan kerajaan negeri menyalur peruntukan pembangunan untuk manfaat rakyat, katanya.