Ibu miskin, 4 anak berhenti sekolah 

KUALA KRAI, 6 Ogos (Hrkh) - Empat anak kepada Siti Robiah Yusof, 50 terpaksa berhenti sekolah kerana kekurangan perbelanjaan keperluan harian dan tambang berulang alik ke sekolah. Manakala tiga lagi anak yang masih bersekolah hanya mendapat simpati rakan-rakan dan guru untuk membeli keperluan harian dan peralatan sekolah. Tiga anaknya iaitu Siti Aisyah, 7, Mohd Ghazali, 10 dan Umi Kalthum, 12 pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Pahi.  Mereka tidak berminat lagi ke sekolah kerana tidak mempunyai perbelanjaan yang terpaksa ditanggung sebanyak RM45 sebagai tambang bas. 

"Itu tidak termasuk untuk perbelanjaan lain-lain lain seperti makan dan minum. "Sedangkan bayaran elektrik dan air perlu dijelaskan sebanyak RM40 setiap bulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan JPN, Taman Sri Rahmat dekat sini, baru-baru ini. Seorang lagi, Siti Fatimah, 15 sudah beberapa tahun berhenti sekolah dan banyak membantunya di rumah. Tiga lagi anaknya, iaitu Siti Norhafizah, 17, Siti Noraini, 16 dan Siti Aminah, 14 masih lagi meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Ibu kepada tujuh anak itu kini hanya bergantung rezeki dengan mengambil upah menjahit bahagian tepi pakaian dengan kadar upah RM3 sehari.

"Kalau anak-anak tidak bersekolah mereka boleh membantu, dan pendapatan bertambah sedikit sehingga mencapai RM10 sehari," katanya yang begitu sedih terhadap nasibnya setelah kehilangan tempat bergantung, apabila suaminya, Abu Bakar Yunus kembali ke rahmatullah pada 2 Febuari 1999.
Beliau kini tidak mampu lagi melakukan kerja-kerja berat kerana mengidap penyakit asma (lelah).
Menurutnya, beliau pernah mencuba membuat kueh mueh untuk dijual di kedai-kedai sekitar tempat tinggalnya, namun tidak dapat bertahan lama kerana penyakit lelahnya. Kini mereka lapan beranak hanya mengharap rezeki daripada upah menjahit tepi pakaian yang diperolehi dari jirannya, biarpun kadar upah RM3 sehari.

"Kami hanya akan mendapat pendapatan sehingga RM10 sehari ketika menjelang musim perayaan apabila dibantu anak-anak yang turut sama menjahit. "Empat orang anak mak cik tolong menjahit, baru dapat upah sebanyak itu," katanya. Siti Robiah pernah tinggal di Ladang Lepan Kabu, di Pahi selama 30 tahun, semasa suaminya bekerja di estet berkenaan. Katanya, suaminya memohon mendapatkan rumah milik JPN di sini dengan harga RM18,400. Rumah itu diduduki pada 1986 dan dibayar hasil duit simpanan suaminya ketika bekerja di ladang. Bagaimanapun sekarang beliau sukar untuk menjelaskan baki tunggakan sebanyak RM2,000 lagi kerana tidak mempunyai pendapatan lain.
Pendapatan yang tidak seberapa daripada mengambil upah menjahit tepi kain hanya mencukupi untuk belanja seharian dan keperluan anak-anak ke sekolah.

Beliau juga pernah memohon mendapat bantuan daripada Kesedar, namun sehingga kini tidak mendapat khabar berita lulus atau tidak. "Sekarang mak cik mendapat bantuan sebanyak RM50 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu mendapat juga bantuan Perkeso iaitu sebanyak RM30 bagi setiap anaknya. "Namun sejak enam bulan lalu, bantuan Perkeso tidak sampai lagi," katanya sedih.

Bagaimanapun keluarga Siti Robiah masih lagi beruntung kerana mendapat bantuan seorang jirannya yang begitu prihatin sehingga sudah memberi pinjaman kepada keluarganya hampir RM1,000 untuk membeli keperluan harian.

Sementara itu, Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yakob berkata, pihaknya begitu simpati terhadap nasib yang dialami keluarga terbabit. Katanya, beliau sedang berusaha untuk menyalurkan bantuan bagi mengurangkan sedikit bebanan yang dihadapi mereka.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh mengalamatkan kepada Siti Robiah Yusof, Blok D, No 38, Perumahan Sri Rahmat, 18000 Kuala Krai atau telefon 966 4176 (Kak Mah - jiran).