Lojing bentuk belia jadi usahawan tani

GUA MUSANG, 6 Ogos - Lojing mampu mengubah kehidupan golongan belia yang bersedia untuk berbakti kepada tanah dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran. Sehingga kini kalangan usahawan tani di kawasan tersebut sudah membuktikan mampu  memperolehi pendapatan lebih RM22,000 dalam tempoh enam bulan. Mereka mampu menikmati pendapatan lumayan tersebut biarpun hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Peserta projek Usahawan Belia Tani di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing membuktikan penglibatan dalam sektor pertanian turut melayakkan mereka bergelar usahawan muda.
Seramai 10 peserta yang menyertai projek berkenaan kini menikmati rezeki lumayan dari kesuburan Lembah Hijau (Green Valley) Lojing. 

Seorang peserta Hussin Yusoff, 29 tahun yang berasal dari Kampung Bechah Kelubi, Chetok Pasir Mas mendapat pendapatan hasil jualan sayur-sayuran sehingga Jun lalu mencecah angka RM22,162.
Pendapatan itu diperolehi daripada jualan terong, kacang buncis dan tomato yang ditanam sejak dari awal tahun.  Rakannya Mohamad Zawawi Sulaiman, 24 lepasan Sijil Menengah Ugama (SMU) turut menikmati pendapatan sebanyak itu, dengan mengusahakan tanaman terong, salad, tomato dan salad.

TKPM Lojing meliputi kawasan seluas 64.7 hektar dan dibuka pada 1997. Peringkat permulaan diusahakan seluas dua hektar pada November 1988 oleh 10 peserta perintis.  Bagaimanapun disebabkan beberapa masalah teknikal dan sosial, lapan daripada peserta terbabit menarik diri. 
Ekoran itu, kumpulan kedua peserta dibawa masuk pada Julai 1999 dan diikuti lagi seramai dua peserta pada September 2000 dan seorang pada awal 2001.

"Sembilan orang daripada mereka diberi latihan intensif selama tiga bulan di Pusat Latihan Pertanian Lundang dan seorang lagi menamatkan kursus asas pertanian selama lapan bulan di Jepun," kata Pengarah Jabatan Pertanian, Othman Ngah pada pelancaran projek berkenaan di Tanah Tinggi Lojing, 26 Julai lalu.  Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman. 

Pada tahun 2000 setiap peserta diberi kawasan seluas 0.44 hektar untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran.  Othman berkata, Jabatan Pertanian merancang memajukan kawasan tambahan kepada setiap peserta seluas satu hektar yang mampu menjana pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
Tanaman utama yang diusahakan iaitu terong, tomato, cili, salad, kacang buncis, timun Jepun dan kobis.

Sepanjang tahun 2000 sejumlah 94.8 metrik tan sayur-sayuran bernilai RM105,510 berjaya diperolehi dengan menyumbang pendapatan purata bagi setiap peserta sebanyak RM721 sebulan. Bagaimanapun jumlah yang dihasilkan semakin meningkat tahun ini, di mana dalam tempoh Januari hingga Jun lalu sebanyak 132.6 metrik tan sayuran yang bernilai RM190,555 berjaya dipunggut. 
Tiga peserta berjaya mendapat pendapatan purata bulanan sebanyak RM3,693 manakala lima peserta mendapat pendapatan bulanan antara RM1,830 hingga RM2,365. "Purata pendapatan bersih bagi setiap peserta bermula bulan Ogos ini dijangka mencapai RM2,400 hingga RM4,000.

Kehadiran peserta program usahawan belia tani di Lojing memberi nafas baru kepada orang Melayu untuk terbabit secara aktif dalam pengeluaran sayur-sayuran.  Bagaimanapun hampir keseluruhan kawasan itu masih dikuasai oleh bukan bumiputera. Kerajaan Kelantan melalui Jabatan Pertanian Negeri berusaha untuk mencungkil seramai mungkin usahawan Melayu yang bakal menyaingi petani-petani bukan Melayu yang sudah lama menikmati kemewahan dari kesuburan bumi di tanah tinggi itu. 

Seorang pekebun sayur berbangsa Cina yang menyewa tanah kerajaan di kawasan seluas 20 ekar dengan kadar sewa RM100 seekar setahun berjaya menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 juta setahun.

Seorang peserta, Nasharuddin Muda, 39 melahirkan rasa hairan mengapa orang Melayu tidak boleh berjaya seperti usahawan Cina, sedangkan kerajaan memberi pelbagai kemudahan seperti dinikmati peserta TKPM di Lojing. "Pendapatan lumayan yang diperolehi mereka menjadi dorongan kepada saya untuk berhenti kerja di sebuah kilang di Selangor, biarpun sudah memperolehi pendapatan lebih RM1,000 sebulan. "Saya sudah 14 tahun bekerja di kilang berkenaan. Namun berhenti untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada projek tanaman sayur-sayuran di sini," katanya. Beliau yang menyertai program berkenaan pada awal Januari lalu berkeyakinan mampu menjadi usahawan yang berjaya dalam pengeluaran sayur-sayuran. 

Azuli Abdul Rahman, 21 yang berasal dari Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas mulai menyertai projek berkenaan pada 1 Julai 1999 berjaya memperolehi pendapatan sebanyak RM60,000 sepanjang tahun lalu. Beliau mengusahakan kobis, salad, terung, tomato, kacang buncis, lobak isi di kawasan seluas 0.529 hektar, di samping menggaji beberapa penduduk Orang Asli dengan bayaran RM700 sebulan.

Mohd Nasir Awang, 26 lepasan SPM pernah mengikuti kursus pertanian di Jepun selama lapan bulan, kini mengusahakan tanaman salad, kobis dan kacang buncis mulai menyertai projek itu awal tahun ini.
Peserta projek usahawan muda tani tersebut memulakan kerja di kebun bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengahari, kemudian berehat selepas menyambung semula jam 3 hinggga 7 petang.

Sebuah asrama khas disedia oleh Jabatan Pertanian yang memuat 10 peserta menjadi tempat berteduh dari hujan dan panas sudah mampu memberi keselesaan kepada mereka yang berada di jauh belantara dan terhindar dari kesibukan kota.