Penangkapan ISA, KMM Bermotif Politik: Nik Abd. Aziz

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetap menganggap penangkapan anaknya Nik Adli, 34 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah penangkapan politik. Katanya, sekalipun Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad, berkata penangkapan itu bukan kerana politik, sebaliknya bersifat politik walaupun beliau serta pimpinan tertinggi PAS lain belum ditangkap. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung penangkapan anaknya, selepas meraikan rombongan pelawat dari kakitangan Rohm Wako dan para guru Kasaoka Jepun.

Lebih membuktikan lagi, jelasnya anaknya dianggap gelombang pertama dalam penangkapan berkenaan, berbanding yang lain. "Jika ianya tidak kerana politik, kenapa anak saya dianggap gelombang pertama dalam penangkapan ini," ujarnya. Beliau turut berkata, penangkap ahli dan penyokong PAS kononnya terbabit dalam Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), hanya untuk memberi gambaran negatif pada PAS. "Sebelum ini PAS pernah dikaitkan dengan anggota Al Ma'unah, sekarang dengan KMM pula di mana gerakkannya masih diragui tentang kewujudannya" ujarnya.

Beliau berkata, penangkapan di bawah ISA juga amat tidak disenangi oleh rakyat di negara ini sehingga mereka sanggup melakukan demontrasi dan sebagainya sebagai tanda tidak puas hati. Sebaliknya, tambah beliau penangkapan kerana dadah, kecurian di samping kesalahan lain, masyarakat amat senang hati serta berterima kasih pada unit tersebut.

Ketika diminta mengulas tentang ada pihak-pihak yang meminta beliau bersabar, Nik Aziz berkata, "kalau perkara lain mungkin boleh saya bersabar, tetapi kalau kes ISA saya tak boleh bersabar bahkan rasa tercabar.

Katanya juga, beliau menentang ISA bukan semata-mata kerana anaknya ditangkap, sebaliknya kerana orang lain juga telah menjadi mangsa yang sama. Bahkan, jelasnya ia telah menjadi sebahagian perjuangan PAS sendiri yang ingin menentang akta tersebut yang tidak adil serta zalim.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan pandangan Lim Kit Siang, yang meminta kerajaan memastikan penubuhan KMM, adakah ianya mengikut saluran yang sah ataupun hanya suatu rekaan semata-mata. Jelasnya, sekiranya KMM tidak wujud, bererti tangkapan berkenaan tidak sah serta mengganggu-gugat hak asasi manusia.

Beliau tidak menafikan, penangkapan beramai-ramai yang dilakukan oleh kerajaan sekarang di bawah ISA, menggambarkan rasa takutnya pemimpin kerajaan terhadap sokongan rakyat terhadap mereka.

Dalam pertemuan itu juga, beliau melahirkan rasa kesal di atas rampasan suara rasmi kerajaan negeri Warkah Darulnaim. Jelasnya, perkara berkenaan tidak wajar berlaku kerana akhbar berkenaan bukan sahaja lidah rasmi kerajaan, sebaliknya satu saluran untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat seluruhnya.

Sambungnya, memandangkan Warkah Darulnaim bukan seperti majalah-majalah hiburan yang lain di mana gambarnya mendedahkan maksiat dan Black Metal. "Isinya jauh dari untuk mendorong masyarakat ke arah yang negatif seperti lucah dan sebagainya, bahkan hubungan baik serta kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat turut diketengahkan di dalamnya," ujarnya.