Wan Abdul Aziz Wan Mahmud

Perubahan di Malaysia Semakin Hampir

BACHOK, - PAS melahir optimis perubahan kepemimpinan yang berlaku di seluruh dunia memberi kesan kepada suasana politik di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Omar Mohamed menaruh keyakinan gelombang kebangkitan rakyat khususnya di rantau sini memberi kesan kepada gerakan rakyat untuk menuntut perubahan. Katanya, berdasarkan perkembangan sekarang, ternyata kuasa rakyat tidak boleh diperkecilkan oleh pemerintah.

Katanya, Pemimpin Umno dan Barisan Nasional kini semakin tersepit dan menaruh rasa bimbang terhadap gelombang kebangkitan rakyat di negara ini. "Negara-negara yang merdeka sejak tahun 1948 semuanya sudah jatuh termasuk India, Indonesia, Pakistan dan Yugoslavia.

"Zaman perubahan pemimpin dunia berlaku di mana-mana di seluruh dunia, di mana-mana pun kuasa rakyat tidak harus diperkecilkan, di Indonesia perubahan berlaku hasil kesedaran rakyat, begitu juga di India, Thailand, Jepun dan terbaru di Filipina. "Kita yakin bahawa pemimpin Umno juga menyedari hal ini, kalau mereka terus memperkecilkan kuasa rakyat, lambat laun mereka pasti akan menerima padahnya," katanya dalam satu majlis ceramah di Pejabat PAS kawasan Bachok, di sini, malam tadi.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyampaikan ceramah di majlis itu. Akhbar semalam melaporkan, bekas naib presiden, Gloria Macapagal Arroyo mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina menggantikan Estrada selepas satu tunjuk perasaan luar biasa mendesak Estrada meletak jawatan presiden negara itu.

Menurut Omar, perkembangan terbaru di Filipina itu membuktikan pemimpin yang terlibat dengan rasuah serta menzalimi rakyat akan menerima padah hasil gerakan seluruh rakyat bangkit menentang pemerintah. Selain itu katanya, kemasukan rakyat yang dulunya berfahaman sekular ke dalam PAS dan BA juga membimbangkan pemimpin Umno.

Tambahnya, garisan takut antara orang Islam dan bukan Islam sekarang sudah berjaya dilintasi, orang bukan Islam kini sudah tidak bimbang terhadap pemimpin Islam. "Sejak kita pegang Kelantan selama 10 tahun, tidak ada pun perkara yang boleh menakutkan mereka kepada Islam.

"PAS berjaya menghilangkan rasa curiga masyarakat bukan Islam,keadaan ini sangat menakutkan Umno, sebab itu mereka akan sentiasa mencari jalan untuk melemahkan perjuangan PAS termasuk menawarkan rundingan," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, PAS sedia berbincang dengan sesiapa sahaja selaras dengan perjuangan parti itu untuk menerangkan kesyumulan Islam.