PAS Amal Dasar Pintu Terbuka

BACHOK,  - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin mengadakan rundingan, asalkan menerima dasar Islam yang diperjuangkan parti itu.

Katanya, sejarah masa lalu membuktikan PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk pihak yang pernah menentangnya sebelum ini. Beliau berkata, sikap itu menggambarkan keterbukaan dan semangat toleransi pemimpin PAS, biarpun ada di kalangan penyokong tidak menyenangi langkah tersebut.

Tambahnya, tidak ada sebab PAS munutup pintu rundingan kerana ternyata hasil sikap keterbukaan pemimpinnya, semakin ramai rakyat berminat mendekati perjuangan Islam. "Sejarah masa lalu membuktikan PAS tidak pernah kerugian, sebaliknya melalui rundingan yang kita laksana menyebabkan bertambah ramai rakyat menyertai PAS.

"Kita tentu masih ingat, apabila PAS berunding dengan bekas Semangat 46, terdapat di kalangan ahli PAS yang tidak bersetuju dan akhirnya mereka menubuh parti lain untuk melawan PAS pula. Tetapi kita jangan lupa, apabila parti itu dibubarkan, penyokong mereka ramai yang tidak ikut pemimpin Semangat 46, sebaliknya memilih bersama PAS.

"Inilah hasilnya yang kita dapat, kerana di sebalik perbincangan dengan pihak lawan kita menerang dan menjelaskan dasar dan kebaikan kita," katanya di majlis ceramah di Pejabat PAS kawasan Bachok di sini, malam semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Omar Mohamed, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Haji Shaari Awang dan Adun Tawang, Ustaz Hassan Mahmood.

Menurut Menteri Besar, selain menjelaskan secara lisan, PAS juga menzahirkan melalui praktikal sehingga usaha itu ditiru pula kerajaan Persekutuan.