Sekolah Agama Benteng Gejala Sosial

KOTA BHARU,  - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Hassan Mohamed meminta pengetua-pengetua sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) mempergiatkan kegiatan aktiviti ko-kurikulum di sekolah masing-masing.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelak pelajar-pelajar Yik terjebak dengan gejala sosial yang semakin parah membabitkan golongan remaja. Jelasnya, sebagai pelajar sekolah agama mereka perlu menjadi model kepada masyarakat dengan mempunyai disiplin tinggi, aktif, berketrampilan dan mempunyai bakat kepemimpinan.

"Pengetua sekolah Yik perlu bertanggungjawab membentuk pelajar sehingga berupaya menjadi pemimpin Islam berkualiti. "Kita berharap pengetua sedar tanggungjawab ini, mereka juga perlu memastikan guru-guru di sekolah tidak cuai melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Sehubungan itu, saya berharap pegawai-pegawai Yik kerap mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah, di samping menyelami masalah yang dihadapi sekolah terbabit," katanya di majlis Hari Keluarga dan sambutan Hari Raya pegawai dan kakitangan Yik di Dewan Saddam Hussein, Nilam Puri, di sini, malam tadi.

Pada majlis yang sama Ustaz Hassan turut menarik tirai mewakili Menteri Besar merasmikan bangunan musolla baru Yik bernilai RM30,000. Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Paduka Abdul Hamid Othman pernah memuji pelajar Yik yang mempunyai disiplin tinggi dan kurang terbabit dengan masalah sosial.