KADAR PENGANGGURAN DI KELANTAN MENURUN

KOTA BAHARU, 22 Jan (Bernama) -- Kadar pengangguran di Kelantan menurun sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada tahun 1999, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Kelantan Mohd Suhaimi Mohd Yunus.

Katanya kadar pengangguran itu dipercayai menurun disebabkan ramai golongan belia di negeri ini berdikari.

"Mereka menjalankan perniagaan kedai makan, bertani dan mengusahakan tanah terbiar milik keluarga," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata penurunan itu dijangka akan terus berlaku tahun ini, bagaimanapun masih ramai belia dari negeri ini berhijrah ke negeri-negeri di Pantai Barat untuk mencari pekerjaan.

"Hasil kajian juga mendapati penghijrahan itu disebabkan oleh tradisi masyarakat yang suka berhijrah di samping mencari pengalaman," katanya.

Katanya sekiranya lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di Kelantan kemungkinan rakyat negeri ini yang berhijrah akan kembali untuk berbakti di negeri kelahiran mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat Kelantan Ibrahim Mamat berkata jumlah penganggur yang berdaftar untuk mendapatkan pekerjaan dengan jabatan itu sepanjang tahun lepas ialah 7,788 iaitu menurun 444 orang berbanding tempoh yang sama pada tahun 1999.

Ketika ditemui di sini, Ibrahim berkata jumlah peluang pekerjaan pelbagai peringkat yang terdapat di Kelantan ketika ini ialah sebanyak 3,449.

Beliau berkata peluang pekerjaan yang banyak terdapat di negeri ini ialah dalam bidang kemahiran menjahit