Peneroka Mahu Potongan Bulanan Ditangguh

GUA MUSANG, - Peneroka Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felda) di sini kini semakin terdesak, ekoran harga kelapa sawit terus merudum di pasaran sekarang. Malah, ada di kalangan mereka terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kos kehidupan semakin meningkat termasuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Mereka sebaliknya mendakwa Felda hanya mengambil sikap melepas tangan tanpa mengiraukan kebajikan peneroka yang kini semakin tersempit. Peneroka dari Ciku 1, Yusoh Abu, 47 berkata harga kelapa sawit yang dibeli oleh kilang Felda lebih murah berbanding kilang swasta.

"Sepatutnya pihak Felda mencari jalan alternatif bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung peneroka termasuk mengurangkan potongan hutang bulanan pada masa sekarang," katanya di sini.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang, Felda tetap memotong tunggakan hutang bulanan mengikut kadar biasa, biarpun peneroka berada dalam kesempitan disebabkan harga kelapa sawit merudum.

Katanya, ramai peneroka tidak berpuas hati dengan tindakan Felda dan mereka terpaksa mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan keluarga. "Malah ada juga di kalangan peneroka terpaksa balik ke kampung sementara waktu untuk mencari sumber pendapatan lain," tambahnya.

Halimah Daud, 39 mencadangkan Felda menangguh sementara waktu potongan hutang bulanan, memandangkan peneroka menghadapi kemerosotan pendapatan yang begitu ketara. "Peneroka sudahlah dhaif ekoran kejatuhan harga kelapa sawit, Felda pula terus menekan dengan bayaran hutang kembali," katanya.