Isu di Kelantan seperti suami marahkan isteri

MACHANG, 31 Jan - Menteri Besar mengibaratkan isu di antara Pemuda PAS dan pihak tertentu sekarang seperti seorang suami yang tidak menyenangi tindak tanduk isterinya.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, suami boleh memberi peringatan kepada isterinya dengan mengasingkan diri untuk tidak tidur bersama. Katanya, sekiranya isteri masih berdegil, pukulan kecil boleh dilakukan tanpa mencederakannya.

"Perumpamaan seumpama itu boleh dilihat terhadap apa yang berlaku di Kelantan sekarang," katanya pada ceramah bersama Adun Lunas, Saifuddin Nasution Ismail di Machang, semalam.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada dua anggota Exco, iaitu Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan.
Penarikan balik itu dibuat tanpa sebarang sebab dan ini dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Wan Mohamad Wan Konok sebagai hak mutlak tuanku.

Laporan akhbar dipetik sumbernya tertentu memberitahu, penarikan balik tersebut dipercayai berpunca bantahan dua Exco terbabit mengenai permohoanan tanah oleh pihak istana di kawasan hulu Kelantan.

Semalam, Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan kerajaan negeri ada menerima memorandum daripada pegawai tinggi kerajaan berhubung 'Sultanate Land'.  Katanya, Sultanate Land merupakan perkara lama yang dibangkit semasa kerajaan negeri di bawah terajui Menteri Besar, Dato' Ishak Lotfi.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan lagi berhubung isu tersebut lagi. "Cukuplah...padanlah setakat itu sahaja," katanya.