Tindakan Tegas Pegawai Langgar Peraturan - NGO

KOTA BHARU, 31 Jan - Persatuan Pekerja Islam Kelantan, mendesak Kerajaan Kelantan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas pegawai kerajaan negeri yang melanggar mana-mana Perintah Am.

Presiden Persatuan Pekerja Islam Kelantan, Wan Nik Yusof Ngah berkata, pihaknya turut menyokong terhadap kenyataan akhbar Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Takiyuddin Hassan berhubung larangan mana-mana pegawai atau kakitangan kerajaan mengeluarkan sebarang kenyataan awam, sebagaimana mengikut Peraturan 19 (1) Perintah Am.

Katanya, selaku seorang pegawai tertinggi kerajaan yang diberi amanah dan tanggungjawab melaksanakan dasar dan keputusan yang dilaksanakan kerajaan, beliau semestinya peka dengan segala polisi kerajaan dan jangan bersikap seperti duri dalam daging.

"Bagi menangani perkara ini agar tidak berleluasa, kami mendesak kerajaan negeri agar mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas pegawai kerajaan yang melanggar mana-mana Perintah Am," ujarnya.

Persatuan Pekerja Islam turut melahirkan rasa terkejut terhadap pendedahan oleh Takiyuddin berhubung tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebagai badan berkanun kerajaan negeri melanggar pekeliling perkhidmatan.

Katanya, institusi berkenaan selaku badan berkanun kerajaan negeri didapati tidak mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8/ 1995, mengenai penyusunan semula hari dan masa bekerja jabatan di bawah kerajaan negeri.

Tegasnya, keengganan MAIK mematuhi pekeliling tersebut menggambarkan kegagalan pihak berkenaan menjaga kebajikan kakitangannya, khususnya bagi menikmati kemudahan cuti dua hari seminggu sebagaimana yang dilaksanakan oleh semua jabatan atau agensi kerajaan negeri yang lain.

"Adalah lebih mendukacitakan lagi Yang Dipertua MAIK sekarang disandang oleh salah seorang pegawai tertinggi kerajaan negeri," ujarnya. Tambahnya, adalah tidak adil kakitangan MAIK yang lain mendapat cuti hanya sehari dalam seminggu, sebaliknya Yang Dipertua menikmati kemudahan cuti dua hari.


Sementara itu, Markaz Siswazah Kelantan (MSK) mendesak kerajaan negeri supaya tidak tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak, termasuk istana dalam isu permohonan tanah kerajaan.

Presidennya, Mohd Adilan Mat Jusoh berkata, kerajaan perlu bertegas dalam soal ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan masih ramai rakyat yang tidak bertanah dan tiada tempat tinggal.

"Kerajaan Kelantan jangan lupa mandat dan harapan rakyat selama ini kerana soal tanah bukan perkara main-main, ianya melibatkan masa depan rakyat di negeri ini," ujarnya.
Oleh itu, tambahnya lagi semua pimpinan kerajaan mesti mempertahankan tanah-tanah milik kerajaan daripada diboloti oleh sekutu-sekutu dan pihak tertentu.

Sehubungan itu, MSK mengharapkan siasatan dilakukan segera untuk mengenalpasti pihak mana yang menggunakan nama istana dalam memohon tanah di bawah peruntukan The Sultanate Land, bagi memastikan tiada pihak menggunakan nama istana, tujuan kepentingan politik.