MJ
Menteri Jamin Usahawan Kelantan Tidak Disisih
 
PENGKALAN CHEPA, 12 Mac - Menteri Pembangunan Usahawan, Dato' Seri Nazri Tan Sri Abdul Aziz menjelaskan beliau merasa bertanggungjawab terhadap jatuh bangun usahawan bumiputera di negeri ini.

Katanya, beliau sentiasa berusaha untuk membantu mana-mana negeri bagi membangunkan golongan berkenaan. "Biarpun berlainan ideologi dengan kerajaan negeri, namun kita tetap membantu usahawan bumiputera di negeri ini. "Lagi pun Kelantan  mempunyai hampir 100 peratus penduduk Melayu yang harus dibantu kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan kilang Vendor dan Inkubator di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, hari ini.
Hadir sama di majlis itu, anggota Exco, Ustaz Ahmad Ya'kob, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sumber Manusia dan Usahawan Kelantan, Haji Zulkefli Mamat dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Zulkefli Wan Yusof.

Menurutnya, sekiranya berlaku kegagalan terhadap usaha melahirkan usahawan bumiputera di Kelantan, beliau merasakan lebih bertanggunjawab terhadap masalah berkenaan.
Oleh itu, katanya, adalah tidak berbangkit pihak kementeriannya mengenepikan Kelantan dalam prospek tersebut.

Berucap di majlis perasmian sebelum itu, beliau bersedia untuk membantu Kelantan bagi memajukan sektor perindustrian termasuk mempertimbangkan lagi peruntukan sekiranya diperlukan.

Katanya, setakat ini, dua projek iaitu pembinaan kilang vendor di Pengkalan Chepa dan ruang perniagaan di kawasan berhampiran Stadium Sultan Mohamad Ke IV dibiayai oleh kementeriannya.

"Kilang vendor dan inkubator ini adalah hasil usaha PKINK untuk melahirkan usahawan-usahawan golongan menengah bumputera di Rancangan Malaysia Ke Tujuh dengan geran peruntukan sebanyak RM4.2 juta.

"Saya merasa gembira kerana projek ini siap dalam tempoh hanya 30 minggu," katanya.
Kilang tersebut menyediakan ruang niaga sebanyak 21 unit dan 15 unit sudah diduduki usahawan bumiputera yang menjalankan perniagaan elektrik, pemprosesan baja, kejuruteraan logam, tekstil, barangan kulit dan industri pemerosesan makanan serta minuman.
Beliau juga berharap usahawan dapat mengambil inisiatif memajukan diri sendiri dalam perusahaan mereka.

Kilang vendor dan inkubator PKINK menawarkan kadar sewa rendah iaitu 25 sen sekaki persegi.
Selain itu, setiap peserta diberi pendedahan  melalui kursus dan bengkel yang dirancangkan PKINK dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan.

Sementara itu, Ustaz Ahmad berkata, peserta diberi tempoh tiga tahun untuk beroperasi di kilang berkenaan.

"Bagaimanapun sekiranya belum mencapai prestasi yang diharapkan mereka diberi pilihan untuk menyambung tempoh sewaan selama dua tahun lagi," katanya.

Menurutnya juga, di bawah Rancangan Malaysia Ke Tujuh, dua projek dilulus dilaksanakan di Kelantan iaitu pembinaan kilang vendor dan ruang niaga berhampiran Stadium Sultan Mohd Ke IV.

Katanya, kedua-dua ruang itu menyediakan 100 unit ruang niaga seperti ruang kilang, kedai makan, bazar, ruang kedai dan gerai buah-buahan.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKINK akan mengemukakan cadangan projek bagi Rancangan Malaysia Ke Lapan untuk dipertimbangkan pihak kementerian bagi membangunkan ramai usahawan di Kelantan.

"Harapan saya semoga di bawah Rancangan Malaysia Ke Lapan, lebih banyak lagi projek dilulus  kepada PKINK untuk dilaksanakan bagi memastikan usahawan di Kelantan menjalankan perniagaan di ruang yang lebih moden, selesa dan strategik," tambahnya.



Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan