PAS Sokong Usul Pindaan Di Parlimen 

KOTA BHARU, 13 Feb (Hrkh) - PAS Kelantan menyokong usul taat setia terhadap Sultan dan Raja Perempuan Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 11 April 1993 setelah melihat Umno begitu gopoh melakukan pindaan tersebut. 

Bekas Adun Gaal, Ustaz Mohamad Hussin berkata, beliau bertindak menyokong usul bagi pihak Adun PAS pada persidangan tersebut, berasaskan pindaan yang dilakukan Umno mempunyai kepentingan tertentu. 

"Ketika itu, rakyat belum lagi memahami secara menyeluruh terhadap pindaan yang dilakukan Umno, tidak sebagaimana berlaku sekarang. "Ekoran itu, Adun PAS mengambil sikap untuk menyokong usul yang dibentangkan bekas Adun Semangat 46 dari Salor, Ahmad Rosli Ibrahim," katanya. 

Pada 11 April 1993, Dun Kelantan meluluskan usul menyatakan taat setia terhadap Sultan dan Raja Perempuan Kelantan. Usul tersebut dibentang oleh Ahmad Rosli berdasarkan kepada perkara 30 (1) peraturan-peraturan dan perintah tetap Dun Kelantan. Ketika itu, PAS bergabung dengan Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li mempunyai hubungan rapat dengan dengan istana. 

Akhbar Isnin lalu melaporkan, Setiausaha Biro Agama Umno Terengganu, Dato' Shafei Daud dilaporkan berkata, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa dan imuniti mutlak raja-raja pada 1993. Beliau mendakwa Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan kerajaan Pusat memindaan perlembagaan Persekutuan pada masa itu boleh menghakis kehormatan terhadap institusi raja. 

Ustaz Mohamad berkata, beliau mengambil kesempatan menyokong usul di Dun Kelantan pada April 1993, setelah melihat tindakan yang dilakukan oleh Umno begitu gopoh. Katanya, sepatutnya Umno menjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat mengenai pindaan yang perlu dilakukan dan kepentingannya kepada kerajaan. "Namun pada hakikatnya kita sudah sependapat, PAS memang menyokong pindaan tersebut di peringkat parlimen. Ini dapat dilihat terhadap ucapan Anggota Parlimen Marang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada perbahasan usul tersebut di Parlimen pada 20 Disember 1992," katanya. 

Ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi menjelaskan, antara lain berbunyi; 'Untuk menjaminkan kemurniaan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen , maka perlembagaan dan undang-undang yang ada perlu dikaji semula dan dipinda. Mereka yang terlibat dengan penggubalan undang-undang dan melaksanakannya seperti jemaah menteri, pegawai, hakim, peguam dan polis hendaklah diberi hak perlindungan sewajarnya. Mereka mesti diberi pembelaan menyeluruh.' 

"Kedaulatan undang-undang tidak wujud selagi masih ada orang yang merasakan dirinya secara langsung atau tidak langsung mengatasi undang-undang," kata Tuan Guru Haji Hadi pada perbahasan usul tersebut. 

Ustaz Mohamad berkata, PAS menyokong usul pindaan tersebut di Parlimen ketika perbahasan mengenai imuniti raja-raja Melayu. "Sokongan yang dilakukan anggota-anggota Parlimen PAS pada perbahasan usul tersebut merupakan satu sejarah baru yang tidak pernah berlaku sebelum ini. "Tidak pernah berlaku sebelum itu, PAS menyokong rang undang-undang yang dibawa oleh wakil-wakil Barisan Nasional" katanya. 

Menurutnya, biarpun pada persidangan Dun Kelantan berlaku keadaan berlainan, namun dari segi falsafah PAS menyokong pindaan tersebut. Katanya, PAS negeri ini mengambil kira cara yang dilakukan Umno tidak sesuai sehingga usul di Dun Kelantan ada sedikit kelainan. Menurutnya, kita di Kelantan melihat cara yang dilakukan oleh Umno ternyata begitu kasar dan lebih mirip menjaga kepentingan peribadi pemimpin mereka sendiri. Beliau berkata, Umno cuba mengambil kuasa raja untuk kepentingan mereka. 

Bagaimanapun menurutnya, situasi yang berlaku sekarang berlainan, kerana kini rakyat sudah faham keadaan yang berlaku dalam jentera pentadbiran kerajaan. Katanya, pindaan yang mahu dibuat kerajaan negeri hanya untuk menyelaras apa dibuat di peringkat Pusat untuk melancarkan lagi jentera pentadbiran kerajaan.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan