Ramai Terkejut Laporan Media 

KOTA BHARU, 13 Feb (Hrkh) - Orang ramai yang hadir pada perhimpunan menyambut keberangkatan tiba Sultan dan Raja Perempuan Kelantan di perkarangan Istana Mahkota terkejut dengan laporan akhbar hari ini. 

Menurut mereka, bilangan 5,000 yang hadir pada majlis itu adalah tidak munasabah sama sekali, kerana jumlah sebenar hanya sekitar 1,000 sahaja. Roslan Mohd Zain dari Kubang Kerian, berkata, kawasan sepanjang Jalan Che Hamid, tempat perhimpunan tersebut diadakan tidak mampu untuk menampung jumlah kehadiran sehingga 5,000 orang. Katanya, sepatutnya akhbar membuat laporan berasaskan kepada lojiknya dan bukannya membuat andaian mudah tanpa mengira kira kemunasabahannya. "Saya juga berada pada perhimpunan tersebut dan pihak media tidak usaha hendak mengelabukan mata orang yang tidak hadir," katanya. 

Azhar Ismail juga terkejut dengan laporan media yang dilihat seperti mahu menggambarkan sokongan padu rakyat Kelantan kepada istana. Menurutnya, rakyat Kelantan tidak perlu ditipu dengan agenda media massa, yang cuba memberi gambaran tidak seimbang terhadap peristiwa berkenaan. 

Semalam, kira-kira 1,000 rakyat Kelantan yang difahamkan ditaja oleh Umno hadir pada majlis sambutan keberangkatan tiba Sultan dan Raja Perempuan dari lawatan di Dubai. Malah, Umno Gua Musang juga dikatakan mengarah setiap cawangan di bahagian berkenaan perlu menghantar wakil bagi menyambut sultan. Program itu difahamkan dianjur Majlis Bertindak Rakyat Kelantan yang diketuai Dato' Ibrahim Ali. Anggota Umno yang hadir terdiri dari kakitangan Kemas, mubaligh dan cawangan-cawangan Umno. Adalah difahamkan mereka dibayar untuk hadir ke majlis tersebut. Sepanduk-sepanduk termasuk yang bertulis Daulat Tuanku dan Umno Kubang Kerian Berdiri Teguh di Belakang Tuanku direntang di tepi jalan. 

Manakala sekitar kawasan tersebut, kain-kain rentang yang bertulis, Tuanku Raja Berdaulat berwarna kuning, merah, biru dan hijau di pasang di tepi jalan berhampiran Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian. 

Seorang penduduk dari Tanah Merah yang enggan mendedahkan identitinya pula mendakwa rakyat yang pernah menabal raja baru di Ketereh beberapa tahun lalu, juga hadir pada majlis sambutan Sultan Kelantan semalam. Katanya, mereka pernah menabal Tengku Ibrahim di bawah pokok di Ketereh ketika berlaku krisis di antara Umno dan raja-raja Melayu. "Sekarang mereka yang menabal raja baru pula datang menyambut keberangkatan tiba Sultan Kelantan dari lawatan di luar negara. "Ini memperlihatkan seperti ada agenda untuk mempersendakan pihak istana," katanya. 

Ketika berlaku krisis di antara Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan raja-raja Melayu, Umno Kelantan telah menabal raja baru di Ketereh yang masih menjadi ingatan kepada rakyat. "Sepatutnya semua pihak tidak melupakan peristiwa tersebut kerana ada pihak yang cuba bersandiwara dalam perkara ini," katanya. 

Seorang penduduk dari Tanah Merah mendedahkan beliau dibayar lebih RM15 untuk hadir kepada program tersebut. 

Pada Jumaat lalu, puluhan ribu rakyat Kelantan berhimpun pada jam 5 pagi di Padang Perdana untuk menunaikan solat sunat Hajat yang diimami Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Solat sunat hajat dan witir serta tazkirah diadakan untuk memohon perlindungan dari Allah yang mempunyai segala kerajaan di bumi dan langit. 

Baru-baru ini, dua anggota Exco kerajaan negeri iaitu Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan ditarik balik darjah kebesaran mereka oleh Sultan Kelantan tanpa memberi sebarang alasan. Menurut laporan akhbar, penarikan balik darjah tersebut dibuat ekoran bantahan mereka berhubung memorandum Sultanate Land. Ekoran itu, Dewan Pemuda PAS memohon untuk diperjelaskan sebab sebenar darjah tersebut ditarik, yang dianggap boleh mencemarkan imej Exco terbabit. Pihak istana yang diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Wan Mohamad Wan Konok menjelaskan kuasa mutlak Sultan untuk menarik darjah tersebut.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan