Penduduk Bukit Pelandok Hargai MB Kelantan

TELUK KEMANG: Menteri Besar Kelantan dianggap pemimpin pertama sebuah kerajaan yang sanggup meninjau dari dekat masalah penduduk di Bukit Pelanduk, ekoran serangan wabak JE beberapa tahun lalu.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama rombongan dari Kelantan yang turut dianggotai ahli Exco, Haji Anuar Tan Abdullah, Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakhri Harun dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood meninjau keadaan tersebut.

Rombongan itu sempat melihat keadaan sebenar yang berlaku di Bukit Pelanduk, Ahad lalu selepas ternakan mereka, babi dimusnah ekoran wabak JE.

Pada kunjungan itu juga, penduduk Bukit Pelanduk menyerah memorandum kepada Menteri Besar sebagai melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepemimpinan Tan Sri Isa Samad.

Memorandum tersebut diserah wakil penduduk selepas majlis dialog yang diadakan di sebuah kedai kopi di pekan Bukit Pelanduk.
Lebih 500 penduduk termasuk dari Sungai Nipah yang terdiri bangsa Cina dan India hadir pada dialog berkenaan.

Ketika  berucap di majlis dialog itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Islam tidak pernah membezakan di antara penduduk yang berlainan bangsa dan agama.
Katanya, Islam sentiasa menghormati bangsa-bangsa lain. Dialog berkenaan diadakan dalam bahasa Tionghua.

Kehadiran rombongan Menteri Besar Kelantan bersama pemimpin Barisan Alternatif Negeri Sembilan disambut dengan tarian Singa oleh penduduk tempatan.
Pihak polis turut memberi kerjasama bagi mengawal lalu lintas ketika dialog berkenaan berlangsung di pekan itu.

Selepas majlis dialog berlangsung Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkesempatan meninjau bekas ladang babi dan tapak baru yang sudah diratakan.
Bagaimanapun babi-babi yang pernah diternak di ladang, dikatakan terbesar di Asia Tenggara itu, kini sudah tidak ada lagi.

Sebelum itu, Menteri Besar menghadiri majlis ceramah yang diadakan di Rembau dan merasmikan pejabat PAS Tampin.

Rombongan penduduk dari Bukit Pelanduk difahamkan pernah berkunjung ke Kelantan, dan mereka mendapat layanan istimewa daripada kerajaan negeri.
Mereka turut melahirkan rasa puas hati terhadap kehidupan masyarakat Cina di Kelantan



Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan