Kilang Getah Di Wakaf Che Yeh Diarah Pindah
 
KOTA BHARU, 13 Mac (Hrkh) - Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengarahkan sebuah kilang memproses getah di Wakaf Che Yeh berpindah sebelum akhir tahun ini.

Arahan tersebut dibuat ekoran desakan penduduk, akibat tidak tahan dengan bau busuk serta asap kotor yang dikeluarkan dari kilang tersebut.

Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar berkata, MPKB memberi tempoh yang sesuai bagi membolehkan pemilik kilang berkenaan mendirikan kilang baru di Kuala Krai.
Katanya, MPKB telah lama menasihatkan pemilik kilang tersebut berpindah ke tempat yang lebih sesuai, setelah menerima pelbagai desakan orang ramai.

Bagaimanapun tambahnya, kilang berkenaan tidak mempunyai tapak baru untuk berpindah sebelum ini. "Kini kerajaan sudah menyediakan tapak yang lebih sesuai untuk kilang tersebut beroperasi di Kuala Krai," katanya di sini.

Sehubungan itu, Haji Ramli berkata, MPKB sudah mengeluarkan notis baru kepada pemilik kilang tersebut untuk berpindah selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu, semasa tinjauan ke kilang berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar, keadaannya begitu kotor dan berbau busuk.

Penduduk sekitar kilang tersebut ketika ditemui berkata, mereka tidak mampu lagi untuk menghidu bau busuk yang menerjah ke hidung mereka setiap hari.

Kata mereka, kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitar kilang tersebut terkena penyakit gatal akibat dari kokotoran di kilang itu.

Penduduk juga mendakwa sering mengidap sesak nafas kesan asap kilang getah yang kotor.
Malah, rumah penduduk menjadi hitam kesan asap yang dikeluarkan kilang tersebut.
Sementara itu, jurucakap kilang tersebut berkata, mereka akan berpindah seperti yang diarah pihak berkuasa tempatan.

"Tarikhnya bergantung kepada pembinaan kilang baru, jika kilang tersebut cepat siap, cepatlah kami berpindah," katanya



Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan