Kakitangan Maik Diarah Turunkan Sepanduk 

KOTA BHARU, 21 Feb - Kakitangan Majlis Agama Islam Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mendedahkan seorang pegawai kanan di badan berkanun itu mengarahkan supaya kain sepanduk mengenai solat hajat jam 5 pagi, 9 Febuari lalu yang dipasang di pagar Kompleks Balai Islam, Lundang diturunkan. 

Seorang kakitangan yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu arahan itu dibuat selepas kain sepanduk tersebut dipasang di kawasan kompleks Balai Islam sebelum solat berkenaan diadakan. 

"Pegawai kanan di Maik mengarahkan seorang pekerja bawahan menurunkan kain sepanduk tersebut, tanpa memberitahu motif tindakan sedemikian dilakukan," katanya. 

Solat hajat tersebut diadakan sempena Munajat Rakyat Kelantan yang berlangsung di Padang Perdana jam 5 pagi. Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami sendiri solat tersebut. 

Program berkenaan dianjurkan Dewan Ulamak PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS. Tujuan solat jam 5 pagi dianjurkan, untuk memohon kepada Allah yang mempunyai segala kerajaan di langit dan bumi mengekalkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulamak. Puluhan ribu rakyat Kelantan hadir pada solat hajat tersebut, sehingga padang tempat berlangsung program berkenaan penuh sesak. 

Sebelum ini, Menteri Besar pernah mendedahkan kain sepanduk yang dipasang di kawasan berhampiran Maik diturunkan pihak tertentu. Pendedahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dibuat ketika menyampaikan kuliah selepas solat hajat sehingga memeranjatkan orang ramai. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ramai kakitangan Maik mendesak supaya jawatan Yang Dipertua Maik diberi kepada mereka yang lebih arif mengenai ilmu agama. Kata mereka, pegawai kanan yang tidak mempunyai pendidikan agama tidak sesuai lagi bertugas di Maik kerana majlis itu bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan orang Islam termasuk berkaitan zakat dan pengurusan masjid. 

"Kami juga tidak menyenangi tindak tanduk pegawai kanan yang gagal mematuhi arahan kerajaan negeri mengenai pekeliling perkhidmatan berkaitan waktu bekerja," kata mereka. Menurutnya, kakitangan di Maik tidak berpuas hati terhadap pengurusan tertinggi kerana gagal melaksanakan kebajikan terhadap kakitangan termasuk cuti dua hari seminggu.

 

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan