Wan Abdul Aziz Wan Mahmud 

Perpaduan: KeADILan Hairan Sikap PM 

BACHOK, 21 Feb - Naib Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, N Gobalakrishnan a/l Nagapan melahir rasa hairan sikap Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamed yang begitu berharap untuk mengadakan rundingan dengan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor. 

Sambil mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menangguhkan sementara pertemuan dengan Umno berhubung perbincangan perpaduan Melayu beliau hairan kenapa Dr Mahathir begitu beria-ia ingin meneruskan juga perbincangan bersama PAS. 

Katanya, tidak sebagaimana pemimpin Umno lain yang mengecam keputusan PAS, sikap Perdana Menteri yang masih menaruh harapan terhadap pertemuan itu, menimbulkan kehairanan. "Biasanya, Perdana Menterilah orang paling lantang membidas PAS jika berlaku kes sumpama ini, tetapi kita hairan mengapa beliau seolah begitu berharap supaya pertemuan yang dirancang menjadi kenyataan. 

"Kalau tidak ada 'udang di sebalik batu' tentunya Mahathir akan mengeluar kenyataan sekurangnya menyesali keputusan PAS itu, ini tidak, dia masih kata 'mari.. mari.. mari..' kepada PAS," katanya ketika menyampaikan ceramah di Beris Tengah, di sini, malam tadi. Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangguhan pertemuan PAS-Umno mengenai isu perpaduan Melayu yang diumum Presiden PAS Ahad lepas. 

Akhbar semalam melaporkan, Umno mahu meneruskan rundingan dengan PAS bagi merealisasikan  pertemuan penyatuan Melayu meskipun PAS meletakkan beberapa syarat sebelum rundingan itu. 

Presiden PAS ketika mengumumkan penangguhan pertemuan bersama Umno meminta parti itu memenuhi beberapa syarat sebelum pertemuan yang dirancang diteruskan. Menurut Dato' Fadzil, antara syarat yang ditetapkan PAS ialah penerbitan Harakah perlu dikembalikan dua kali seminggu dan bayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dipulangkan di samping menuntut Umno supaya menolak cadangan parti itu untuk menggugurkan perkataan 'Islam' pada PAS. 

Sehubungan itu, Gobalakrishnan yang juga Anggota Majlis Tertinggi KeADILan meminta pemimpin PAS lebih berhati-hati sebelum ingin meneruskan hasrat mengadakan rundingan dengan Umno. "KeADILan mengingatkan PAS supaya tidak terjerat dengan muslihat Umno, kita tidak mahu rakan BA terperangkap dengan jerat yang dipasang pemimpin Umno," tambahnya.

 

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan