MPKB Tolak PTN sebagai YDP 

KOTA BHARU, 6 Jan (Hrkh) - Hasrat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Wan Mohamad Wan Konok mahu jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) diserah kepada pegawai tadbir negeri (PTN) mungkin tidak kesampaian, apabila awal-awal lagi ditolak warga MPKB. 

Hampir keseluruhan ahli-ahli Majlis, pegawai dan kakitangan di MPKB tidak merestui jawatan YDP diserahkan kepada PTN. Malah, mereka melihat jentera pentadbiran di majlis tersebut akan menghadapi masalah apabila membiarkan PTN menduduki jawatan YDP sebagai kuasa eksekutif. 

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Kenaikan Pangkat MPKB, Haji Zainal Rashid Mohd Zain berkata, pihaknya tidak bersedia untuk menerima PTN sebagai YDP di MPKB. Katanya, jawatan tersebut sejak berbelas tahun disandang oleh orang politik yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri. "Dan adalah amat malang sekali apabila jawatan tersebut sekarang mahu diserahkan kepada PTN pula," katanya. Menurutnya, dua orang wakil PTN yang dipinjam ke MPKB sekarang sudah memadai untuk membantu melancarkan jentera pentadbiran di majlis tersebut. 

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan (PPTNK), Dato' Wan Mohamad Wan Konok dilaporkan akhbar, mendesak  kerajaan negeri melantik YDP MPKB dari kalangan PTN. Beliau dikatakan melahirkan rasa dukacita kononnya kerajaan negeri tidak menunaikan janji untuk melantik PTN ke jawatan tersebut. 

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Pengkuatkuasaan dan Lalu lintas MPKB, Shaari Mat Yaman berkata, beliau tidak nampak, relevan PTN dilantik sebagai YDP MPKB. Katanya, biarpun ada arahan daripada kerajaan Pusat supaya majlis tempatan yang mempunyai pendapatan lebih RM10 juta setahun dilantik YDP sepenuh masa, namun pelantikan itu tidak semestinya dari kalangan PTN. "Ramai lagi pentadbir-pentadbir yang berpengalaman dari kalangan bukan orang politik layak untuk mengisi jawatan YDP Eksekutif di MPKB. "Bilangan PTN di MPKB yang ada sekarang sudah  memadai, dan tidak perlu lagi diberi jawatan tambahan kepada mereka," katanya. 

Seorang lagi ahli majlis MPKB, Aidy Hassan berkata, pihaknya mempunyai banyak pengalaman mengenai PTN di negeri ini. Katanya, PTN yang mempunyai kiblat yang khusus kepada tuannya, dan bukannya kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Menurutnya, sekiranya jawatan yang begitu tinggi diserahkan kepada PTN, kemungkinan agenda-agenda dirangka kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan kerana mereka mempunyai tuannya tersendiri. Oleh itu, cadangan untuk menerima PTN di MPKB wajar ditolak dan pelantikan YDP sepenuh masa boleh dilakukan dengan mengambil pihak lain yang benar-benar berpengalaman dalam bidang pentadbiran. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) dikatakan menghantar surat menarik balik pelantikan Haji Kamaruddin Mohd Zain sebagai Timbalan YDP di MPKB. Surat penarikan balik itu berkuatkuasa 16 Febuari ini. Menurut sumber, Haji Kamaruddin akan dipanggil balik ke Kota Darulnaim tanpa mempunyai jawatan yang jelas.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan