Remaja Cari Hiburan Alternatif - Akil Hayy 

KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) - Golongan remaja di negara ini disaran mencari hiburan alternatif yang bersandarkan Islam dalam usaha menjaga nilai murni dan kesucian agama. 

Bekas penyanyi kumpulan rock D'Riyadh, Ustaz Akil Hayy Rawa berkata, pemilihan bentuk hiburan boleh mempengaruhi sikap remaja bagi membina kehidupan yang lebih cemerlang pada masa depan. Katanya, Islam tidak menghalang penganutnya untuk berhibur dengan mengambil kira batas-batas agama dan moral. 

"Malangnya sekarang, remaja kita sudah terikut-ikut dengan budaya Bollywood yang tidak mencerminkan identiti moral. "Telah banyak terbukti pengaruh negatif mempengaruhi remaja negara ini kesan pengaruh filem-filem Bollywood. "Dengan pakaiannya yang menampakkan aurat, pergaulan bebas dan macam-macam lagi telah dipamerkan oleh pelakon-pelakon dalam filem Hindi," katanya pada program Gerak Gempur Remaja anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, baru-baru ini. 

Program itu berjaya mencapai sasarannya, apabila 80 peratus remaja menghadiri majlis berkenaan yang di adakan di Dataran MPKB. Ustaz Akil yang kini menjadi pendakwah bebas berkata, pandangan seorang mufti terhadap kesan filem Bollywood hendaklah dipandang secara positif. 

Sementara itu, ketika memberitahu media, beliau berkata, rakaman album nasyidnya akan diterbitkan dalam tempoh yang terdekat ini. Menurutnya, segala perancangan untuk menyelenggarakan penerbitan album nasyid berkenaan dalam perbincangan. "Bagaimanapun sekarang saya lebih menekankan ceramah motivasi kepada remaja termasuk video klip kerana kesuntukkan masa. "Namun Insya Allah, jika diizinkan album nasyid saya akan diterbitkan juga nanti memandangkan sambutan golongan remaja khususnya begitu membanggakan," ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Anggota Majlis MPKB, Haji Zainuddin Abdullah berkata, Ustaz Akhil mendapat jolokan 'Cate Stevan Malaysia' kerana kejayaannya berdakwah sambil berhibur. Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk berdakwah sambil berhibur, selagi ia tidak bercanggah dengan nilai Islam. Oleh itu, beliau berharap lebih ramai lagi golongan artis tanah air berdakwah sambil berhibur seperti Ustaz Akhil dan beberapa temannya seperti Sheqal dan Ito bekas penyanyi Blues Gang. Di akhir program Ustaz Akil diserbu peminat yang berebut untuk bergambar, mendapatkan tanda tangan dan bersalam. Turut memeriahkan program berkenaan, kumpulan nasyid Soutul Amal dari Kuala Terengganu dengan persembahan tiga lagu nasyid.

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan