Mazlan Jusoh 

Ramai Kesal Pejabat Exco Diceroboh 

KOTA BHARU, 23 Feb - Pelbagai pihak di negeri ini kesal dengan pencerobohan bilik seorang anggota Exco, baru-baru yang dianggap belum pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran Kelantan. 

Oleh itu, mereka berharap pihak pengurusan Kota Darulnaim mempertingkatkan lagi tahap kawalan keselamatan di kompleks tersebut kerana ia merupakan pusat pentadbiran bagi kerajaan Kelantan. Kata mereka, aspek kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan lagi terutamanya pada waktu malam. 

Seorang penduduk, Musa Mohd Amin berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di Kota Darulnaim perlu memperkemaskan lagi aspek kawalan. "Kenderaan yang keluar masuk terutamanya waktu malam perlu dipastikan terlebih, sama ada membabitkan kenderaan kerajaan atau persendirian," katanya. Beliau begitu kesal dengan kejadian itu berkata, sepatutnya insiden pencerobohan pejabat Exco seperti yang berlaku malam Rabu lalu, tidak berlaku, sekiranya tahap kawalan keselamatan lebih diutamakan. 

Baru-baru ini, pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan dicerobohi sehingga surat-surat milik kerajaan berselerak di atas lantai. 

Ekoran kejadian itu, Takiyuddin membuat laporan polis. Antara lain kandungan laporan polis tersebut menyebut, 'Pada 21 Febuari 2001, kira-kira jam 8.15 pagi, apabila saya memasuki pejabat saya di Tingkat Bawah, Blok 1, Kota Darulnaim, saya dapati keadaan bilik saya berselerak di satu sudut di hadapan bilik air. "Barang yang berselerak adalah beg-beg saya yang mengandungi dokumen kerja. Saya diberitahu pembantu saya, Nik Noorma Nik Daud, semasa beliau masuk ke pejabat pagi ini, kira-kira jam 7.55 pagi, di dapati pintu bilik saya dan juga pintu besar di luar pejabat saya tidak berkunci.' 'Kali terakhir saya berada dalam bilik ini ialah pukul 11 malam 20 Febuari 2001 bersama-sama pegawai saya, Abdul Razak Ghani. Saya pasti sebelum keluar, kedua-dua pintu bilik saya dan pintu besar dikunci. Saya belum pasti apa-apa barang yang hilang dari bilik saya. 

Sementara itu, sumber Kota Darulnaim berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan pejabat pentadbiran kerajaan negeri sentiasa terkawal terutamanya pada waktu malam. 

Katanya, kejadian pencerobohan yang berlaku di bilik seorang anggota Exco tidak sepatutnya berlaku, sekiranya tahap kawalan diperketatkan. Menurutnya, kejadian seperti itu, adalah sesuatu yang amat malang sekali kerana jarang benar pejabat pentadbiran kerajaan dicerobohi pada waktu malam. 

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya kepada akhbar berhubung insiden pencerobohan tersebut turut melahirkan rasa kesal. Katanya, sebagai kawasan larangan tidak sepatutnya penceroboh boleh memasuki pejabat kerajaan kerana mempunyai sistem kawalan keselamatannya. 

Sehubungan itu, Menteri Besar mahu semua pihak mempertingkatkan lagi tahap keselamatan pejabat masing-masing dalam melindungi segala dokumen yang menjadi rahsia kerajaan termasuk harta benda kerajaan. 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga melihat pencebohan itu berlaku semasa kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyelaras pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan bagi diselaras dengan Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan. 

Pandangan Menteri Besar itu dianggap banyak pihak amat lojik, memandangkan usaha giat sedang dijalankan untuk menyelaraskan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan dengan Jadual Ke Lapan Perlembagaan Persekutuan. 

"Kemungkinan pencerobohan yang berlaku itu ada hubung kait dengan pindaan bakal dibuat sebelum 30 April ini, tidak dapat ditolak," kata seorang penduduk. Beliau turut melahirkan rasa hairan di mana pencerobohan itu hanya berlaku terhadap pejabat salah seorang anggota Exco yang ditarik darjah kebesarannya oleh sultan Kelantan Januari lalu. 

Pada 9 Januari lalu, istana Kelantan melalui Setiausaha Sulit Sultan, Serpuddin Mohamad menghantar surat menarik balik darjah kebesaran milik Takiyuddin dan seorang lagi anggota Exco, Ustaz Mohamad Daud, tanpa dinyatakan sebab-sebabnya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan