Umno Gusar Hadapi Pilihan Raya ke-11

PASIR PUTEH, 30 Jan - Penentangan terbuka anggota Umno terhadap pucuk pimpinannya semakin meresahkan pemimpin tertinggi parti itu, terutamanya bagi menghadapi pembangkang dalam pilihan raya umum ke-11 nanti.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, protes secara terbuka semakin ketara, walaupun pemimpin tertinggi parti cuba menyembunyikan perkara itu. Ini kerana katanya, ramai ahli Umno tidak menyenangi tindak tanduk pemimpin tertinggi negara yang menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan pengurusan kewangan negara terutama berhubung penyelewengan melibatkan pembelian balik 29.9 peratus ekuiti yang dimiliki Tajuddin dalam MAS dengan harga RM8 sesaham dengan kos keseluruhannya 1.792 billion.

"Pengkhianatan secara terang-terangan telah membangkitkan kemarahan di kalangan penyokong Umno, dan proses penghijrahan daripada Umno berlaku secara mendadak terutama di kalangan mereka yang boleh menilai dan berfikir secara rasional.

"Wang yang digunakan Umno adalah khazanah rakyat, tapi inilah yang dilakukan pemimpin Umno untuk selamatkan syarikat milik kroni-kroni mereka. "Dan kita mendapat maklumat ada lagi beberapa syarikat lain yang diswastakan akan dijual balik kepada kerajaan dengan harga yang tidak banyak beza semasa dibeli dari kerajaan dulu," katanya di majlis ceramah di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh, di sini malam kelmarin.

Beliau yang juga Adun Melor berkata, pemimpin Umno kini semakin bimbang untuk menghadapi pilihan raya umum akan, datang memandangkan ramai pengundi-pengundi baru tidak menyebelahi parti itu sebagaimana berlaku dalam pilihan raya umum 1999 lalu.

"Dalam pilihan raya 1999 lepas, BN mengatasi BA dengan majoriti secara keseluruhannya sebanyak 650,000 pengundi sedangkan pengundi yang didaftar pada Mei 1999 yang tidak digazet dan tidak diluluskan untuk jadi pengundi yang sah berjumlah 680,000. "Jadi menjelang 2004 nanti pengundi terbabit sudah boleh mengundi, jadi jumlah tersebut bila dicampur dengan pengundi baru pula hampir dua juta, maka peluang bagi Umno semakin tipis," katanya.