Pegawai Main Politik Diminta Letak Jawatan

oleh Mazlan Jusoh

KOTA BHARU, 6 Jan (Hrkh) - Pihak-pihak tertentu dalam Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan (PPTNK) yang cuba bermain politik diminta secara terhormat meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Zulkefli Yaakub berkata, segelintir pihak dalam PPTNK perlu ingat, mereka makan gaji dengan kerajaan negeri yang dipilih rakyat. "Mereka dibayar gaji untuk melaksanakan tugas, dan kalau hendak bermain politik sila letak jawatan serta bertanding dalam pilihan raya.

"Pegawai tadbir jangan pula cuba hendak bermain (gelewat) di depan gol," katanya pada ceramah di Bunut Payong di sini, baru-baru ini. Menurutnya, haluan sebenar Dewan Pemuda PAS bukannya pegawai tadbir tertentu, sebaliknya Umno yang menjadi musuh utama yang perlu dihadapi.

Ustaz Zulkefli yang juga Adun Guchil turut mempersoalkan tindakan Persatuan Kerabat Diraja membuat laporan polis terhadapnya, ekoran meminta pihak istana menjelaskan punca darjah kebesaran dua anggota Exco ditarik balik.

Baru-baru ini, seorang wakil persatuan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu mengenai kenyataan Zulkefli yang didakwa memberi kata dua kepada istana. Sedangkan, Naib Ketua Dewan Pemuda itu sebelum ini menjelaskan, sepanjang menemui media, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kata dua seperti yang dilaporkan akhbar.

Menurutnya, kenyataan tersebut hanya ciptaan media semata-mata. Sehubungan itu, beliau mempertikaikan mengapa persatuan terbabit tidak pula membuat laporan polis mengenai penghinaan Umno secara jelas terhadap sultan Kelantan beberapa tahun lalu. "Mengapa tidak saman Dato' Annuar Musa yang berperanan menabalkan Tengku Ibrahim sebagai raja baru di Ketereh pada tahun 1993. "Persatuan Kerabat tidak berbuat demikian kerana ketika itu kemungkinan disebabkan Annuar merupakan seorang menteri," katanya.

Menurut beliau, sepatutnya persatuan berkenaan melihat siapa yang pernah mempertahankan sultan Kelantan ketika Umno menabal raja baru. Beliau juga mempersoalkan tindak tanduk persatuan kerabat, yang tidak membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang mahu Sultan Kelantan didakwa di mahkamah, beberapa tahun lalu.

Beliau juga berkata, Umno tidak mampu untuk mengambil kesempatan terhadap isu yang berlaku di Kelantan sekarang kerana rakyat sudah mengetahui tindak tanduk parti itu, terhadap raja. "Umno usah hendak mengambil peluang terhadap isu tersebut kerana rakyat Kelantan sekarang sudah cerdik," tambahnya.

 

Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan